Tun M dedah rahsia panjang umur dan kekal sihat

Photo of author

By Syima Iza

Meniti usia mencecah 99 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad masih dikenali sebagai antara pemimpin tertua disegani di peringkat antarabangsa.

Apa tidaknya, beliau pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali iaitu Perdana Menteri ke-4 (1981-2003) dan Perdana Menteri ke-7 (2018-2020).

Sehingga peletakan jawatannya pada 2020, beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang tertua dan ketua negara atau kerajaan tertua di dunia.

Tun M dedah rahsia panjang umur dan kekal sihat

Selain dalam arena politik, Dr Mahathir cukup ‘disegani’ kerana masih mengekalkan kesihatannya dan aktif dengan sentiasa menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Biarpun kini sedang menjalani proses pemulihan selepas rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 Januari lalu, Dr Mahathir tidak duduk diam apabila dilihat masih lagi menulis dan membaca akhbar.

Dalam beberapa program yang dianjurkan sebelum ini, Dr Mahathir tidak lokek berkongsi petua untuk panjang umur dan kekal sihat.

“Orang selalu bertanya saya bagaimana saya boleh hidup hingga sekarang, jawapannya mudah saja, jangan terlebih makan, jangan makan terlalu banyak.

“Ini sesuatu yang amat sukar bagi saya…tapi saya cuba juga untuk tidak makan terlalu banyak. Saya tidak merokok dan saya tidak minum minuman keras,” katanya.

Dalam program berasingan, Dr Mahathir dipetik berkata, untuk mereka yang mahu panjang umur adalah ‘seseorang itu patut makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan.’

“Saya berjaya mengekalkan berat badan yang sama sejak 30 atau 40 tahun lalu, ia tidak berubah.

“Saya tidak makan banyak dan saya tidak makan berlebihan apabila rasa sedap,” katanya sambil menambah, dia kekal aktif dengan berjalan di atas mesin ‘treadmill’ dan ada kalanya berbasikal.

Dr Mahathir juga pernah berkongsi di laman sosial X pada Oktober 2021, dia tidak makan ikan.

“Saya tak makan ikan, jadi taklah merasa gulai ikan yang saya dimaklum amat popular.

Saya berkongsi meja dengan beberapa orang tempatan dan peniaga,” katanya. Perkara ini turut didedahkan oleh bekas pengawal peribadinya, Saad Hashim dalam satu temubual bahawa Dr Mahathir menjaga kesihatan dengan makan ala kadar.

“Sejak dahulu lagi Tun sangat menjaga kesihatannya dengan hanya makan ala kadar untuk mengalas perut sahaja. Apa yang unik nya Tun tidak makan ikan kerana dididik oleh ibunya sejak kecil,” katanya.

Baca Juga:
Rupanya ini fungsi butang “Release” di gear Proton Saga yang masih ramai tak tahu
Bayi hampir maut, suami isteri sedang ‘khayal’ dadah bancuh susu dengan syabu
*”Walaupun grammar berterabur, tapi English dia semakin baik” – Netizen kagum Sajat dah pandai English!