Tular iklan rumah milik Farid Kamil bakal dilelong harga lebih dari setengah juta?
Ketika heboh di media sosial mengenai sebuah rumah yang dipercayai akan dilelong, ramai yang tertanya-tanya siapa individu yang terlibat.
Menurut iklan lelongan yang tersebar, rumah teres di Bandar Saujana Putra, Selangor itu telah dimasukkan dalam senarai lelongan awam pada 22 Januari depan.
Maklumat tersebut diperoleh melalui laman sesawang lelongan yang memaparkan butiran mengenainya.
Hasil pemerhatian mStar berdasarkan iklan lelongan harta di akhbar, kediamanan teres dua tingkat itu milik individu bernama Farid Kamil Zahari.
Namun begitu tidak dapat dipastikan sama ada penama berkenaan seorang pelakon popular ataupun individu lain yang mempunyai nama serupa.
Rumah dengan keluasan 1,760 kaki persegi itu dikatakan bawah pemilikan Bumiputera dan dibeli pada tahun 2011.
Ia bakal dilelong dengan harga bermula RM522,000.
Kisah ini mula menjadi bualan di media sosial dan kebanyakan netizen juga mula membuat pelbagai andaian mengenainya.
Pihak mStar cuba menghubungi pelakon Farid Kamil untuk mendapatkan pengesahan sama ada iklan lelongan itu berkaitan dengan rumah miliknya atau orang lain, namun panggilan tersebut tidak dijawab.