Tular dua lelaki disaman di Thailand kerana gagal pamer lesen fizikal, ini penjelasan Anthony Loke

Photo of author

By Syima Iza

Tular dua lelaki disaman di Thailand kerana gagal pamer lesen fizikal, ini penjelasan Anthony Loke.

Rakyat Malaysia yang memandu kenderaan di luar negara tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pada masa sama mereka juga tidak sewajarnya meminta pihak berkuasa negara terbabit menerima pakai pelaksanaan kaedah lesen memandu digital Malaysia.

Tular dua lelaki disaman di Thailand kerana gagal pamer lesen fizikal, ini penjelasan Anthony Loke

“Kita sudah perjelaskan pemanduan di luar negara tertakluk kepada undang-undang negara itu dan kita tidak boleh minta mereka terima cara (pelaksanaan lesen secara digital) kita.

“Kerajaan juga tidak boleh meminta mana-mana negara lain bagi menerima pelaksanaan konsep pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana setiap negara mempunyai undang-undang sendiri,” katanya.

Anthony berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baharu Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan dua lelaki warga Malaysia yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu.

Menerusi perkongsian yang tular di Twitter sejak semalam, individu berkenaan menjelaskan situasi yang dialami bersama rakannya selepas ditahan ketika menunggang motosikal di sebuah daerah dalam negara terbabit.

Anthony berkata, kerajaan memperkenalkan konsep pendigitalan JPJ daripada segi lesen dan cukai jalan itu bagi mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ.

Bagaimanapun, katanya pemberian lesen secara fizikal tidak diberhentikan dan ia masih diberikan oleh pihak JPJ sekiranya individu berkenaan memerlukannya.

“Lesen digital yang diperkenalkan di negara ini sudah tentu tidak mempunyai masalah termasuk dari segi penguatkuasaan dan tiada saman akan dikenakan.

“Bagaimanapun, apabila seseorang itu ke luar negara sudah tentu dia tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan.

“Jika memerlukan lesen fizikal bagi pemanduan di luar negara, dia boleh mendapatkannya daripada JPJ ketika memperbaharui lesen. Ini sesuatu yang saya rasa orang ramai perlu tahu bahawa kita tak ada bidang kuasa di negara lain,” katanya.

Baca Lagi:
Warga Argentina minta sumbangan diesel untuk keliling dunia di RnR Temerloh, ramai tak puas hati masih ada yang hulur duit
Ketua Balai Polis Jalan Campbell jadi ‘hero’ selamatkan wanita cuba bunuh diri
Lelaki dedah isteri curang di rumah sendiri, ‘kantoi’ ada jantan di belakang pintu