Tular dakwaan MyKad, lesen memandu Malaysia ditemui di medan perang Ukraine-Russia, Wisma Putra semak kesahihan

Photo of author

By Syima Iza

Tular dakwaan MyKad, lesen memandu Malaysia ditemui di medan perang Ukraine-Russia, Wisma Putra semak kesahihan.

Kementerian Luar Negeri sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berkenaan susulan tular mengenai penemuan MyKad Malaysia dan lesen memandu Malaysia di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Wisma Putra berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.

Tular dakwaan MyKad, lesen memandu Malaysia ditemui di medan perang Ukraine-Russia, Wisma Putra semak kesahihan

Menurutnya, maklumat itu juga telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk pengesahan lanjut.

“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
“Kami juga ingin menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri.

Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Dokumen itu didakwa ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyemak kesahihan maklumat tersebut.

“Buat masa ini, PDRM sedang menyemak sama ada ia benar atau sebaliknya dan kita juga berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan maklumat,” katanya.

Baca Lagi:
Pemandu teksi terkejut dibayar hampir RM5000 kerana hantar penumpang ke lapangan terbang tepat waktu
TikTokers anggap tindakan Fattah Amin tolak duit komisyen RM90,000 kurang bijak
5 senarai sekolah paling mahal di Malaysia, yuran tahunan cecah ratusan ribu ringgit