Tukang urut kantoi tanam 20 beg plastik berisi jasad bayi di belakang rumah.
Sebanyak 20 beg plastik berisi tulang-tulang jasad puluhan bayi ditemui terkubur di sekitar rumah seorang warga emas yang dikenali sebagai Yamini.
Yamini, atau lebih mesra dengan panggilan Mbah Yam, sebenarnya merupakan seorang ‘tukang urut’ yang juga melakukan pengguguran bayi.
Perbuatan kejam ini mula terbongkar pada tahun 2018 selepas seorang wanita bernama NH (41) pergi ke hospital akibat mengalami pendarahan. Pegawai perubatan yang merawatnya merasakan ada sesuatu yang mencurigakan dan akhirnya melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.
Hasil siasatan mendapati NH dan suaminya mendedahkan kebenaran mengenai pendarahan yang dialami. NH mengaku bahawa dia telah menggugurkan kandungan dengan bantuan Mbah Yam.
Susulan pendedahan itu, pihak polis telah menyerbu rumah Mbah Yam yang terletak di Desa Ngagrokerto, Salaman, Indonesia, dan menahan wanita berusia 67 tahun tersebut.
Ketika rumah Mbah Yam digeledah, polis menemui 20 beg plastik yang mengandungi tulang janin dan bayi. Dalam siasatan lanjut, polis turut menemui jasad bayi yang diletakkan di dalam baldi di bilik Mbah Yam. Polis percaya bahawa bayi tersebut baru sahaja digugurkan dan belum sempat dikebumikan di belakang rumahnya.
Mbah Yam akhirnya mengaku telah menjalankan perbuatan kejam ini sejak 25 tahun lalu dan mendedahkan menerima upah sebanyak Rp 2 juta (RM553) setiap kali menggugurkan kandungan.
Difahamkan, Mbah Yam, yang mempunyai tujuh orang anak, pernah menggugurkan kandungan sendiri.
Pada Januari 2019, Mahkamah Negeri (PN) Mungkid mendapati Mbah Yam bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama 7 tahun serta denda Rp 20 juta dengan subsidi penjara tambahan selama dua bulan jika gagal membayar denda.