Tukang sapu kerugian RM2,000 diperdaya 3 wanita buang ‘hantu’ dalam tubuh

Photo of author

By Syima Iza

Tukang sapu kerugian RM2,000 diperdaya 3 wanita buang ‘hantu’ dalam tubuh. Seorang tukang sapu berputih mata apabila wangnya lesap selepas terperdaya ditipu tiga orang wanita yang menawarkan khidmat mengeluarkan roh-roh jahat dari tubuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlakun kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, semasa mangsa iaitu wanita warga emas berusia 69 tahun berada di pasar untuk membeli sayur sebelum telah didatangi oleh tiga orang wanita dalam lingkungan usia 40-an yang tidak dikenali.

Menurutnya, salah seorang daripada tiga wanita itu telah menyapa mangsa dan memberitahu terdapat gangguan roh jahat di dalam tubuh mangsa.

Tukang sapu kerugian RM2,000 diperdaya 3 wanita buang 'hantu' dalam tubuh

 

“Pada mulanya mereka menawarkan untuk membuang hantu dari badan mangsa dengan tidak meminta sebarang bayaran. Mangsa telah bersetuju dan kemudian salah seorang daripada wanita tersebut telah meminta mangsa balik ke rumah untuk mengambil wang dan barang kemas bagi upacara buang hantu serta datang semula ke sebuah bank di Bahau.

“Mangsa yang percaya telah balik ke rumah dan mengambil wang tunai sebanyak RM1,000, dua utas rantai leher emas, seutas rantai tangan emas serta dua bentuk cincin emas. Mangsa membawa wang dan barang kemas tersebut dan menyerahkan kepada tiga wanita itu di dalam kenderaan.

“Selepas menyerahkan wang dan semua barang barang tersebut, mangsa telah diberikan dua botol air mineral kecil dan sebungkus garam. Mangsa diminta untuk keluar kenderaan dan terus pulang ke rumah,” katanya kepada media semasa pada Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini, hari ini.

Ujar Chang Hook, mangsa kemudiannya pulang ke rumah dengan membawa dua botol air serta garam dan sebaik ditanya anaknya barulah mangsa sedar ditipu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada hari yang sama berhubung kerugian yang dianggarkan bernilai RM2,000 itu.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan,” katanya.

Sementara itu, seramai 99 individu menerima surat penghargaan bersempena majlis tersebut.

Baca Lagi:
Lelaki maut dibelasah sekumpulan lelaki mabuk
7 lelaki diberi notis amaran kerana berseluar pendek
Syed Saddiq tak setuju larangan umat Islam lawat rumah ibadah agama lain