Tukang masak sanggup redah 700 kilometer demi himpunan RXZ wanita.
Minat mendorong tukang masak wanita ini menunggang motosikal sejauh lebih 700 kilometer dari Arau, Perlis ke Cherating untuk menyertai Himpunan RXZ Wanita Malaysia 3.0, hari ini.
Sanira Abdul Hamid, 35, berkata, tiada yang lebih menggembirakannya selain dapat bersama lebih 350 ahli Kelab RXZ Wanita Malaysia berhimpun dalam program tiga hari dua malam tersebut.
“Alhamdulillah, saya tiba di Cherating kira-kira 1 petang semalam selepas bertolak dari Arau pada 6 pagi kelmarin, pada awalnya secara solo sebelum bertemu ahli lain di Jitra, Kedah.
“Boleh dikatakan sepanjang perjalanan hujan, tetapi syukur kerana selamat sampai dan berkumpul bersama ahli dari seluruh negeri.
“Apa yang penting, ia memberikan kepuasan kepada saya dan dapat berkongsi pengalaman berharga. Saya juga bersyukur kerana ibu bapa merestui, dan mereka mendoakan perjalanan saya,” kata ibu tunggal lima anak itu.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan dan turut dihadiri oleh presiden kelab, Siti Shafida Abdul Ghani.
Siti Shafida berkata, himpunan itu diadakan sempena ulang tahun ketiga kelab terbabit yang kini mempunyai 535 ahli dengan pelbagai latar belakang berusia antara 19 hingga 42 tahun.
Menurutnya, kehadiran pada himpunan tersebut membabitkan 70 peratus ahli dari Pahang.
“Kita mempunyai ahli dari pelbagai kerjaya antaranya polis, guru, jururawat, usahawan dan peniaga. Jadi, dalam himpunan ini, kami dapat berkongsi cerita dan melakukan aktiviti bersama,” katanya.
Sabariah pula memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada semua pihak, khususnya golongan wanita, dalam melaksanakan aktiviti sihat dan bermanfaat.