Tukang gunting mengamuk kejar pelanggan dengan parang.
Seorang tukang gunting rambut hilang kawalan apabila menyerang pelanggannya dengan parang selepas pelanggan tersebut mengadu bahawa potongan rambut yang dilakukannya tidak memuaskan.
Kejadian itu berlaku di Morowali, Sulawesi Tengah, di pinggir jalan di Kecamatan Bahodopi sekitar jam 3 petang waktu tempatan pada hari Khamis.
Kekecohan tersebut turut menjadi tular di media sosial, terutama di aplikasi X.
Dalam klip video yang tersebar, kelihatan seorang lelaki berlari keluar dari sebuah kedai gunting rambut menuju ke pinggir jalan sebelum dikejar oleh tukang gunting tersebut yang memegang sebilah parang.
Melihat situasi tegang itu, orang ramai cuba menenangkan keadaan, namun tukang gunting itu berkeras dan terus mengacukan parang kepada sesiapa yang cuba menghalangnya.
Nasib pelanggan itu menjadi lebih buruk apabila dia tiba-tiba terjatuh, dan pelaku kemudian melibasnya dengan parang. Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan selepas orang ramai menggertak pelaku dengan mengatakan mereka akan memanggil polis.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius dan menerima 31 jahitan, dengan 13 jahitan di dada dan 18 jahitan di kaki kiri.
Suspek kini sedang diburu polis dan dipercayai berjaya melarikan diri selepas insiden tersebut.