Tuan rumah terkedu perompak selamba curi Alphard dalam pagar rumah.
Sebuah keluarga bukan sahaja terkejut, malah terkedu apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard mereka dilarikan di hadapan mata dalam satu kejadian rompakan di Ipoh, Perak, awal pagi semalam.
Menerusi video tular yang dimuat naik oleh @farrahouz1 di akaun TikToknya, kejadian tersebut berlaku di kawasan perumahan Gerbang Meru Indah sekitar pukul 3.50 pagi.
Menurutnya, perompak itu dengan mudah dan berani membuka pagar automatik serta menggunakan kunci khas untuk membuka kenderaan tersebut.
Walaupun keluarga tersebut telah menjerit dan membunyikan penggera kenderaan lain di garaj yang sama, perompak itu tetap tenang menghidupkan enjin kereta.
“Kereta kami dicuri dengan mudah. ‘Gate arm’ dibuka, kereta ‘unlocked’ guna alat ‘remote’ mereka, dan mereka tak takut langsung walaupun kami sudah bunyikan penggera dan menjerit.
“Perompak tekad menghidupkan enjin dalam masa lima hingga tujuh minit (agak lama sebenarnya, berbanding memilih untuk lari ketika kami menjerit),” tulisnya dalam video itu.
Tambahnya lagi, mereka sekeluarga tidak berani keluar ketika kejadian kerana bimbang perompak tersebut mempunyai senjata api.
“Kami masih terkedu. Mohon sebarkan. Perompak kereta tidak takut walaupun pemilik menyaksikan mereka merompak. Beri perhatian pada Alphard, Vellfire, atau Raptor. Perompak ini sangat berani,” komennya lagi.
@farrahouz1Mohon viralkan.. perompak kereta tak takut even owner nampak kerja merompak dorg. Special attention to Alphard/ Wellfire/ Raptor. Perompak daring gila.
Sehingga kini, video itu telah mendapat lebih 1.8 juta tontonan, 71,200 tanda suka, dan 21,500 perkongsian.
Klip tersebut turut menunjukkan MPV itu berjaya dihidupkan dan dibawa keluar dari kediaman sebelum beredar.
Bagaimanapun, jumlah perompak yang terlibat dalam insiden ini masih belum dapat dipastikan.
Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut.