Tuan rumah pelik kolah bilik mandi disimen penyewa, rupa-rupanya mayat wanita ditanam di dalam
Bomba dan Penyelamat Selangor mengambil masa lebih dua jam untuk memecahkan kolam air sebelum menemui mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di Pandamaran hari ini.
Bomba Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mendapat panggilan sekitar jam 11.39 malam tadi untuk mengeluarkan satu mayat yang berada di dalam kolah bilik mandi.
“Bomba sampai ke tempat kejadian 10 minit kemudian dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang melakukan kerja-kerja pemecahan simen menggunakan peralatan ‘paratech tool’ dan mesin hacker.
“Ketika kerja-kerja pemecahan simen dilakukan sekitar 70 peratus, didapati satu mayat wanita dewasa berada dalam kolah air berkenaan.
“Mayat itu kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada polis,” katanya.
Terdahulu, tinjauan yang dilakukan di kawasan rumah berkenaan mendapati pintu pagarnya tertutup namun pintu utama rumah berkenaan dalam keadaan terbuka.
Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat kawasan luar kediamannya dipenuhi anggota polis kira-kira jam 9.30 malam tadi.
“Sekitar jam 11 malam, pasukan bomba pula tiba dan baru saya tahu ada mayat ditemui di rumah berkenaan.
“Sebelum ini, rumah itu pernah disewa kepada warga asing sebelum ada antara mereka pulang ke negara asal dan selepas itu disewa kepada pasangan suami isteri warga tempatan.
“Saya terkejut melihat anggota bomba mengangkat mayat yang dilihat seperti gumpalan tanah liat dan berbau,” kata lelaki berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki dipercayai pemilik rumah berkenaan yang mengesyaki sesuatu selepas kolah air di rumahnya di simen tanpa pengetahuannya.
“Pengadu memaklumkan dua penyewa lelaki telah keluar daripada rumah berkenaan pada 10 Oktober lalu.
“Pemilik ke rumah itu datang untuk memeriksa serta membersihkan sebelum disewakan kepada orang lain dan mendapati kolah air dalam bilik air disimen.
“Selepas tidak berpuas hati dengan jawapan penyewa berkenaan, pengadu tampil membuat laporan polis,” katanya.