Trend terbaru, bayar RM600 dapat lesung pipit.
Muncul trend terbaru apabila ramai individu yang taasub pada kecantikan sanggup melakukan pembedahan lesung pipit palsu menggunakan khidmat individu tidak bertauliah.
Golongan ini berani menadah risiko dan kesan pada wajah dengan mendapatkan khidmat pakar estetik haram yang menawarkan khidmat pada harga murah.
Malah, golongan tidak bertauliah yang menyediakan perkhidmatan itu secara terang-terangan mempromosikan khidmat mereka di media sosial.
Tidak sekadar itu, terdapat juga pempengaruh mempromosikan khidmat membuat lesung pipit tanpa tauliah di platform media sosial mereka.
Bersandarkan sijil perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang digantungkan di premis rawatan kecantikan, ia sudah memadai memancing kepercayaan mereka yang taasub untuk mendapatkan bentuk wajah baharu diinginkan.
Tinjauan wartawan Harian Metro di premis yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kecantikan termasuk membuat lesung pipit sekitar ibu negara mengundang pelbagai persoalan berhubung tahap profesional penyedia perkhidmatan itu.
Rata-rata pusat kecantikan menawarkan khidmat membuat lesung pipit palsu ini hanya berurusan dengan pelanggan yang sudah membuat janji temu menerusi WhatsApp.
Salah sebuah premis dikunjungi di Puchong, Selangor, memaklumkan mereka tidak menerima pelanggan baharu kerana janji temu sudah penuh.
Hampir 20 minit bercakap menerusi interkom, akhirnya kumpulan wartawan diberikan masa baharu untuk mendapatkan rundingan kecantikan yang diinginkan dengan syarat membuat tempahan menerusi aplikasi sembang berkenaan.
Selepas berjaya memujuk, akhirnya mereka membenarkan kami masuk ke dalam premis perkhidmatan itu dan soalan pertama yang ditanya kumpulan wartawan ialah mengapa mereka begitu ketat membenarkan pelanggan masuk ke pusat kecantikan mereka tanpa janji temu.
“Kami khuatir jika awak daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ringkas.
Wartawan mendapati premis itu dikendalikan lima kakitangan yang mendakwa sudah memiliki sijil perakuan untuk membuat rawatan kecantikan termasuk membuat lesung pipit.
Tatkala ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai sijil yang didakwa itu, kakitangan terbabit mendakwa mereka juga tidak tahu dan perkara itu hanya dimaklumkan oleh majikan sahaja.
Berhubung harga yang ditawarkan pula, kumpulan wartawan dimaklumkan harga bagi membuat sepasang lesung pipit adalah sekitar RM600.
“Dari segi proses hanya sekejap sahaja sekitar 20 minit. Proses buat lesung pipit juga tidak sukar sebab kita akan cucuk bahagian dalam pipi pelanggan dengan jarum.
“Kemudian masukkan benang, tarik benang itu dan biarkan benang di dalam pipi selama kira-kira seminggu dan benang akan hancur sendiri.
“Proses ini juga tidak sakit kerana kami akan membius sebanyak dua kali pipi pelanggan menggunakan krim bius. Jika rasa pun macam kena gigit semut,” katanya.
Menurutnya, selepas proses membuat lesung pipit itu, pelanggan perlu berpantang daripada memakan makanan laut kerana ia boleh menyebabkan kegatalan.
“Setakat ini, semua pelanggan kami berjaya buat lesung pipit ini tidak ada masalah. Dari segi ketahanan, lesung pipi yang dibuat boleh bertahan sehingga empat tahun.
“Sekitar dua minggu pertama sahaja lekuk di pipi akan nampak pelik selepas itu ia akan kelihatan semulajadi,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi pelanggan yang mahu membuat lesung pipit di rumah turut boleh membuat tempahan awal dan caj perjalanan akan dikenakan.
Boleh lumpuh muka jika jarum kena urat saraf
“Mereka yang membuat lesung pipit di pusat kecantikan tidak bertauliah boleh mengalami lumpuh muka jika jarum digunakan terkena pada saraf muka,” tegas pakar estatik, Doktor Aidil Azry Mokhtar.
Katanya, perkara kedua yang dikhuatiri adalah jangkitan kuman meskipun jurukecantikan mendakwa sudah menggunakan bahan tertentu untuk menyahkuman.
“Bagaimanapun, ia belum tentu diyakini selamat. Di klinik estetik atau hospital yang menyediakan rawatan, doktor bertauliah amat mementingkan tahap kebersihan alatan digunakan.
“Doktor atau pakar bedah plastik biasanya akan melakukan prosedur membersihkan alat pembedahan mengikut kaedah khas yang dipelajari secara profesional bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman,” katanya.
Tambahnya, alatan digunakan yang tidak bersih atau dicemari kuman boleh memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan wajah pesakit.
“Berhubung penggunaan benang yang digunakan jurukecantikan bagi membuat lesung pipit, persoalannya adakah ia menggunakan benang daripada pembekal perubatan yang sah atau berdaftar?
“Bahan atau produk perubatan termasuk jarum yang digunakan hanya boleh dibekalkan kepada doktor yang bertauliah sahaja. Jadi, saya bimbang bahan yang dimasukkan ke dalam badan pesakit itu tidak selamat,” katanya.
Menurutnya, perkhidmatan jurukecantikkan untuk membuat lesung pipit di rumah atau hotel juga adalah suatu kesalahan kerana premis itu tidak diiktiraf berbanding klinik atau hospital.
“Rawatan di dalam kereta, rumah atau hotel tidak diyakini selamat dari segi kebersihan. Perkara ini penting supaya tidak ada kuman atau virus merbahaya di kawasan berkenaan menjangkiti pesakit ketika prosedur pembedahan berlangsung,” katanya.
Katanya, benang yang digunakan oleh jurukecantikkan juga boleh diragui dari segi kebersihannya kerana bahan itu perlu berada lama di dalam kulit pelanggan.
“Apabila kuman ini masuk ke dalam kulit, ia boleh berumah di dalamnya dan mencetuskan jangkitan kronik,” katanya.
Doktor Aidil berkata, sebagai doktor estetik, dia tidak melihat trend membuat lesung pipit sebagai satu keperluan kerana gaya rawatan kecantikan hari ini lebih terarah kepada nilai keaslian.
Prosedur tanpa tauliah
Pembedahan estetik bagi membentuk lesung pipit palsu di pusat yang tidak bertauliah adalah satu kesalahan serius dan melanggar undang-undang.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya memaklumkan, KKM hanya mengeluarkan sijil pentauliahan Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP) kepada pengamal perubatan berdaftar dan sijil pentauliahan itu dibenarkan untuk menjalankan prosedur perubatan estetik seperti pembedahan plastik.
Tambahnya, pembedahan plastik berkenaan termasuklah rhinoplasty, alarplasty, liposuction, kelopak mata-blepharoplasty, pembuatan lesung pipit, suntikan Botox dan Filler, laser, High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) dan lain-lain lagi.
Menurut KKM, perkhidmatan perubatan estetik hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar yang bertauliah di premis berdaftar atau dilesenkan di bawah KKM.
Katanya, orang ramai perlu mengelak mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik terutama prosedur invasif yang ditawarkan di rumah (door to door), hotel, salun kecantikan, medispa atau premis lain yang meragukan.
“Keraguan ini adalah kerana prosedur-prosedur ini berpotensi menyebabkan komplikasi kesihatan, kecacatan serta kematian kepada pelanggan jika dikendalikan oleh individu tidak berkelayakan,” katanya.
KKM sebelum ini turut menjalankan operasi dan serbuan di banyak pusat rawatan kecantikan yang dikesan menawarkan rawatan estetik secara haram terutamanya membabitkan suntikan vitamin C dan botox.
‘Saya tak rasa menyesal’
“Jika ia (membuat lesung pipit) salah kenapa ia boleh dibuka secara terbuka? Disebabkan itu saya yakin untuk menggunakan khidmat jurukecantikan bagi membuat lesung pipit,” jelas seorang lelaki yang mendapatkan khidmat jurukecantikan bagi membuat lesung pipit di wajahnya.
Dia juga seorang pempengaruh media sosial yang ingin dikenali sebagai Awi berkata, selain daripada iklan secara terbuka di media sosial, dia juga yakin untuk meneruskan ‘rawatan’ itu apabila melihat sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di pusat kecantikan berkenaan.
“Bagi saya, jurukecantikan di pusat kecantikan itu sendiri memang datang dari latar belakang yang mempunyai bidang rawatan itu dan ketika saya ke sana, memang saya tengok ada sijil pengesahan dan lesen-lesen yang sepatutnya.
“Saya tidak menyesal membuat lesung pipit itu meskipun pada awalnya berasa pelik melihat wajah sendiri selepas menjalani rawatan itu,” katanya.
Jelasnya, dia juga menerima tugasan daripada salah sebuah pusat kecantikan bagi mempromosikan perkhidmatan membuat lesung pipit berkenaan dan melakukan kepada diri sendiri terlebih dahulu adalah cara untuk memberi kepercayaan kepada pengikutnya di media sosial.
Bercerita mengenai proses membuat lesung pipit itu, katanya, ia hanya mengambil masa yang pendek iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sahaja dan dia tidak merasa sakit.
“Di awalnya jurukecantikan itu akan menyapu krim kebas di luar pipi. Kemudian, mereka akan mencucuk jarum halus bersama benang sehingga menembusi pipi di dalam mulut.
“Apabila benang itu sudah dimasukkan, ia akan ditarik beberapa kali dan ia akan diikat atau disimpulkan dari dalam mulut. Saya difahamkan benang yang disimpul itu akan hancur sendiri dalam tempoh kira-kira dua minggu,” katanya.
Katanya, selesai menjalani proses membuat lesung pipit itu, kesannya jelas kelihatan meskipun tidak tersenyum. Kesan yang tidak nampak asli itu hanya seketika dan akan kelihatan seperti pemilik lesung pipit sebenar selepas kira-kira dua minggu.
“Selepas melakukan proses membuat lesung pipit itu, saya merasa agak sakit terutama ketika ingin makan. Demi memastikan benang yang disimpul di dalam mulut tidak terbuka, saya perlu makan perlahan-lahan.
“Saya juga tidak dibekalkan dengan sebarang ubat dan yakin tidak akan berlaku sebarang komplikasi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi testimoni yang membuat lesung pipit di pusat kecantikan yang ingin dikenali sebagai Alia berkata, dia membuat lesung pipit atau rawatan sulam benang lesung pipit disebabkan tidak mahu terlepas mengikuti trend semasa serta ingin memiliki sepasang lesung pipit.
Namun, dia tidak menyangka rawatan kecantikan itu mengundang jangkitan selepas dua hari menerima perkhidmatan itu disebabkan dia tidak menjaga bahagian yang dicucuk itu dengan baik.
“Selepas dua hari buat rawatan itu, lubang yang dicucuk di pipi saya mengeluarkan nanah disebabkan saya melanggar pantang larang makanan yang diberitahu oleh jurukecantikan yang memberi rawatan kepada saya.
“Bagi saya, penjagaan pemakanan sangat penting selama tempoh dua minggu bagi menjaga pipi yang sudah dicucuk dan elakkan makan makanan yang panas serta pedas,” katanya.
Mira juga berkata, jangkitan itu tidak teruk dan dia hanya meletakkan minyak gamat. Dalam tempoh kira-kira tiga hari nanah itu berkurang dan menjadi semakin pulih.
“Sejak nanah itu mula mengering, saya mula menjaga pantang larang yang dipesan daripada pakar kecantikan supaya masalah jangkitan itu tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Pusat kecantikan tak patut ‘memandai’ buat lesung pipit
Pusat kecantikan tidak sewajarnya menawarkan perkhidmatan membuat lesung pipit berikutan mereka bukan dalam kalangan doktor pengamal perubatan estetik bertauliah.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Persatuan Pembedahan Plastik dan Rekonstruksi Malaysia (MSPRS), Dr Shah Jumaat Mohd Yussof yang mendapati kegiatan membuat lesung pipit palsu di pusat kecantikan kian meningkat.
Jelasnya, doktor estetik berdaftar perlu mengikuti garis panduan jenis rawatan estetik yang dibenarkan KKM dan tidak boleh melebihi skop rawatan minimally invasive tersenarai dalam garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jika doktor estetik bertauliah tidak menawarkan rawatan itu, bagaimana pula pusat kecantikan boleh menawarkan perkhidmatan berkenaan? Melihat kepada proses membuat lesung pipit, ia jelas mendatangkan risiko kepada orang ramai berikutan ia membabitkan pembedahan di bahagian pipi dan dalam mulut.
“Apabila membabitkan kaedah atau ‘procedure invasive, hanya pakar bedah bertauliah boleh melakukannya untuk mengurangkan risiko komplikasi. Di pipi kita ini terdapat banyak bahagian sensitif antaranya kelenjar air liur dan saraf. Jika tersilap langkah, saya khuatir ia boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian berkenaan,” katanya.
Katanya, bagi individu bukan pakar bedah atau doktor estatik yang tidak mengetahui anatomi secara khusus, mereka sebenarnya mendedahkan risiko masalah kesihatan lain kepada orang ramai.
“Sebagai doktor pakar bedah plastik atau doktor estetik, kami belajar secara terperinci menangani dan menguruskan jika berlaku komplikasi kepada pesakit,” katanya.
Menurutnya, orang ramai sebenarnya boleh menyemak senarai doktor estetik yang berdaftar di laman web KKM supaya boleh mendapatkan khidmat golongan bertauliah.
“Orang ramai boleh menyemak senarai doktor estatik bertauliah KKM dan bidang rawatan estetik dibenarkan. Selain itu, pastikan klinik berkenaan berdaftar,” katanya.
Haram ubah ciptaan Allah
Hukum bagi individu yang membuat lesung pipit pada pipi sedangkan mereka tidak dilahirkan berlesung pipit adalah haram dan berdosa.
Ia kerana perbuatan berkenaan termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah SWT yang ditegah oleh al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.
Perkara itu juga dijelaskan oleh ulama empat mazhab dan turut diperakui oleh mufti serta ulama antarabangsa.
Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pendakwah, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, mereka yang menyediakan perkhidmatan itu juga turut berdosa dan haram kerana membantu orang lain untuk mengubah ciptaan Allah SWT.
Beliau berkata, individu yang memiliki lesung pipit palsu akan terus menanggung dosa selagi dia tidak bertaubat dan kembali kepada wajah asal.
“Mengubah ciptaan Allah SWT pada wajah dan tubuh badan kerana inginkan kecantikan adalah perkara yang haram dan berdosa. Ia sama seperti seorang lelaki yang ingin mengubah alat kelaminnya kepada alat kelamin wanita.
“Selain itu, orang yang menawarkan perkhidmatan itu turut dianggap bersubahat dan berdosa kerana menggalakkan orang ramai melakukan dosa mengubah ciptaan Allah SWT,” katanya.
Katanya, hukum itu adalah tidak sama kepada golongan yang membuat pembedahan kosmestik bagi tujuan rawatan atau menghilangkan aib pada wajah atau anggota tubuh.
“Ia perkara yang perlu difahami orang ramai kerana mengubah ciptaan Allah SWT demi mendapatkan pujian atau kecantikan sudah semestinya berdosa dan mereka perlu bertaubat,” katanya.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, mengubah kejadian fizikal dilarang syarak kecuali untuk menyelamat sesuatu daripada mendatangkan kemudaratan yang lebih buruk pada diri.