Trak pikap bawa tin cat meletup gara-gara pemandu buang puntung rokok.
Sebuah trak pikap meletup sebelum terbakar selepas pemandunya membuang puntung rokok ke luar tingkap ketika memandu, lapor laman berita Thaiger semalam.
Kejadian berlaku di Ban Khai, wilayah Rayong, semalam.
Menurut seorang pegawai polis, Chanatchai Wongsrivichit, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) yang melaporkan kebakaran sebuah kenderaan di persimpangan Jalan Rayong-Ban Bueng.
Setibanya di lokasi, sebuah trak pikap Toyota sedang terbakar, namun pemandunya sempat keluar dari kenderaan tersebut.
Menurut pemandu, Noppachai Ladawongdee, 52, dia membawa 240 tin cat dan beberapa perkakasan yang ditutup dengan kain terpal.
Ketika memandu, dia sedang menghisap rokok sambil membuka tingkap.
Dia tidak menyedari bahawa puntung rokok yang dibuang ke luar tingkap jatuh di bahagian belakang trak, menyebabkan kebakaran tercetus.
Tambah Noppachai, selepas menyedari api muncul di belakang trak, dia memberhentikan kenderaannya dan cuba memadamkan kebakaran.
Namun, api yang merebak dengan pantas membuatkan Noppachai melarikan diri sebelum letupan berlaku.
Siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada puntung rokok yang mendarat di atas kain terpal sebelum mengenai tin cat.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.