
Tol percuma selama 2 hari sempena Deepavali
Tol percuma selama 2 hari sempena Deepavali.
Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari bermula 11 November (Sabtu) jam 12.01 pagi sehingga 12 November (Ahad) jam 11.59 malam sempena sambutan perayaan Deepavali Ahad ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mesyuarat bersama dengan syarikat konsesi bersetuju memberi pengecualian tol kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Menurutnya, inisiatif itu dilaksana bagi meraikan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
“Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
KKR menganggarkan jumlah trafik dalam masa dua hari adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.
Dengan pelaksanaan tol percuma, kementerian menasihatkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang tersebut selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.
Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuhraya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.