Tol percuma dua hari, 8 dan 9 April sempena Aidilfitri

Photo of author

By Syima Iza

Berita gembira bagi pengguna lebuh raya apabila kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari kepada kenderaan Kelas 1 iaitu kenderaan persendirian pada hari Isnin dan Selasa, 8 dan 9 April depan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa pemberian tol percuma selama dua hari itu telah dipersetujui menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan pemberian tol percuma itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menekankan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Tol percuma dua hari, 8 dan 9 April sempena Aidilfitri

Menurut Alexander, pemberian tol percuma akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pukul 12.01 tengah malam, 8 April sehingga 11.59 malam, 9 April iaitu hari Selasa.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan melibatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM37.60 juta.

“Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali plaza tol sempadan negara seperti Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor. “Tol percuma ini adalah sebagai tanda kepedulian dan ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan memaklumkan bahawa pelaksanaan pemberian tol percuma itu dijangka meningkatkan jumlah kenderaan di kesemua jaringan lebuh raya.

Bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), kementerian itu menggalakkan pengguna merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) dengan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan keluar serta memilih waktu perjalanan yang bersesuaian.

“Kementerian Kerja Raya juga memperkenalkan aplikasi aduan yang dikenali sebagai aplikasi MYJalan KKR berkonsepkan No Wrong Door Policy di mana ia menerima semua jenis aduan berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur, termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaan kementerian itu,” katanya.

Bagi mengurangkan kesesakan semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan smart lane di 18 lokasi di lebuhraya PLUS melibatkan lokasi kesesakan kritikal untuk menambah kapasiti dan melancarkan aliran trafik.

Jelasnya, bilangan tersebut termasuk tiga lokasi baharu berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan semasa perayaan Tahun Baharu Cina pada bulan Februari lalu.

Baca Juga:
Padah pengaruh TV, adik baling gunting hingga tercacak atas kepala kakak
Dua warga asing cuba culik budak perempuan di pusat beli belah berjaya ditangkap orang awam
Lelaki tunggang motosikal Honda Wave sejauh 2,589km ke China demi bermain salji