Dugaan semasa bertunang sememangnya amat mencabar kerana fasa inilah yang akan menilai sejauh mana hubungan itu mampu bertahan sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.
Ujian bukan hanya terarah daripada sudut persefahaman semata-mata kerana ia turut melibatkan kesetiaan pasangan.
Seorang wanita yang bekerja di syarikat sama dengan bakal suaminya namun berlainan jabatan berkata dia sering meluangkan masa bersama pasangannya serta rakan-rakan sepejabat lain ketika waktu makan.
Namun sejak kebelakangan ini, dia seperti dapat menghidu perubahan sikap tunangnya dan nalurinya kuat mengatakan lelaki itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.
“Kami selalu makan tengah hari atau makan malam ramai-ramai. Tunang saya ni jenis tak suka makan guna sudu garpu.
“Tapi sejak akhir-akhir ni saya perasan yang dia tak kisah pun (guna). Kemudian satu hari tu, saya terjumpa WhatsApp tunang dengan seorang perempuan daripada jabatan dia,” katanya menerusi satu luahan di laman X.
Tanpa mendedahkan butiran mesej berkenaan, dia kemudian mendapati wanita itu mahu duduk makan berdekatan dengan tunangnya ketika makan beramai-ramai.
“Sejak daripada WhatsApp tu, saya macam tiba-tiba perasan, perempuan tu sentiasa makan dekat dengan tunang. Saya kemudian perasan hanya setiap kali dia join kami makan, tunang saya akan guna sudu dan garpu,” ujarnya.
Pada mulanya, dia menganggap ia sekadar perkara biasa, sehingga perbualan antara tunangnya bersama perempuan itu membongkarkan hubungan sulit mereka.
“Tunang kantoi curang. Saya periksa mesej tunang di WhatsApp dan perasan perempuan ni kata… kalau you sayang I, apabila kita makan please guna sudu garpu. Macam tu I tahu you sayang I,” katanya.
Namun jauh di sudut hati, dia tidak dapat menahan kesedihannya dan cuba mengumpul kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Pada masa sama, dia tidak pasti untuk sama ada mahu meneruskan hubungannya bersama tunang dan berkahwin seperti yang diharapkan atau tidak.
“Saya nak sambung menangis lepas pura-pura gembira dan kuat dengan menulis posting ni,” luahnya lagi.
Menerusi ruangan ciapan balas, rata-rata netizen bersimpati dengan nasib malang yang menimpa wanita itu yang terpaksa berhadapan dengan kecurangan tunangnya.
Malah sebahagian mereka mengatakan naluri setiap wanita sememangnya kuat apabila merasakan sesuatu berbeza atau kelainan pada sikap lelaki.
“Kalau Allah nak tunjuk, pada benda biasa-biasa seperti sudu garpu pun boleh jadi tanda,” kata seorang netizen.
“Apabila kita ada naluri, kita boleh perasan kelainan lelaki yang dia sayang. Sebab tu tak susah nak kesan lelaki tu menipu atau curang walaupun dia buat diam-diam. Tengok kelakuan dan tabiat je dah boleh agak.
“Kalau Allah nak tunjuk, pada benda biasa-biasa sudu garpu pun boleh jadi tanda. Tak apa, nangis je puas-puas sekarang. Kamu tahu lebih berharga daripada sekadar cinta sudu garpu mereka.
“Dah satu tempat kerja pun masih berani nak ada hubungan sulit dengan perempuan lain. Yang perempuan tu pun satu, macam tak ada jantan lain je kau nak, kasihan.
“Dugaan bertunang, nasib baik tak kahwin lagi,” demikian antara komen netizen.
Segelintirnya turut menyarankan wanita itu supaya tidak mengambil langkah terburu-buru untuk memutuskan hubungan, sebaliknya menguji cinta si tunang pada dirinya.
“Apabila keluar please cakap… kalau you sayang I, please guna tangan. Tengok siapa yang paling dia sayang. Gunakan ayat yang sama perempuan tu sebut,” komen netizen.