‘Tiada bilik banduan VIP di Penjara Sungai Buloh’ – Dakwaan ‘Abang Mat’ terhadap Anwar berniat jahat, tidak benar

Photo of author

By Syima Iza

‘Tiada bilik banduan VIP di Penjara Sungai Buloh’ – Dakwaan ‘Abang Mat’ terhadap Anwar berniat jahat, tidak benar.

Jabatan Penjara Malaysia menyangkal dakwaan seorang individu yang mengaku bekas banduan Penjara Sungai Buloh dikenali sebagai ‘Abang Mat’ berhubung keadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjalani hukuman di penjara pada tahun 2015.

Dalam kenyataan, Jabatan Penjara memaklumkan telah meneliti kenyataan dibuat ‘Abang Mat’ menerusi sebuah video berdurasi satu jam 20 minit di akaun YouTube ‘Cili Kasi Taruk’, Ahad lalu.

Sehubungan itu, Jabatan Penjara menegaskan tidak akan teragak-agak membuat laporan polis kerana dakwaan itu disifatkan bukan sahaja menjejaskan imej jabatan itu, malah menjejaskan imej Anwar sebagai Perdana Menteri.

'Tiada bilik banduan VIP di Penjara Sungai Buloh' - Dakwaan 'Abang Mat' terhadap Anwar berniat jahat, tidak benar

Jabatan Penjara menjelaskan, tiada bilik atau penempatan banduan VIP berada di Penjara Sungai Buloh dan mana-mana penjara lain.

Menurut jabatan itu, Anwar telah ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh atas syor pegawai perubatan kerana masalah kesihatan yang dialaminya.

Jelasnya, Klinik Penjara Sungai Buloh turut menempatkan banduan lain yang memerlukan rawatan dan pemantauan kesihatan yang lanjut.

“Semua banduan yang berada di klinik penjara disediakan katil seperti mana pengesyoran pegawai perubatan dan untuk kepentingan kesihatan mereka.

“Segala kemudahan yang disediakan di klinik penjara adalah bagi kepentingan kesihatan banduan dan dengan pengesyoran pegawai perubatan iaitu seperti mana dinyatakan dalam Peraturan 234 Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Jabatan Penjara memaklumkan, kerja-kerja membersihkan kawasan klinik termasuk bilik-bilik di klinik dilaksanakan banduan yang dipilih dan ditempatkan di klinik berkenaan, bukannya dari blok penginapan yang lain.

Pada masa sama, katanya, tiada sebarang tirai dipasang untuk melindungi bilik dasar.

“Seperti mana bilik-bilik banduan lain, tirai tidak dipasang bagi membolehkan kawalan dan pemerhatian oleh pegawai penjara dapat dilaksanakan tanpa halangan.

“Malah terdapat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dikawasan tersebut sebagai bantuan kawalan,” katanya.

Mengenai dakwaan ‘Abang Mat’ mengatakan waktu senaman pada sebelah pagi, Jabatan Penjara menegaskan dakwaan itu sebagai tidak tepat.

Malah, jelasnya, berasaskan rekod jadual yang ditetapkan dan dilaksana Penjara Sungai Buloh, kemudahan senaman tersebut dilaksanakan pada waktu petang.

“Percakapan ‘Abang Mat’ menyatakan Anwar berjongging hanya memakai seluar pendek dan tidak memakai baju juga adalah tidak tepat sama sekali.

“Bagi sesi lawatan pula, perjumpaan untuk Anwar adalah sama seperti layanan yang diterima banduan lain iaitu mengikut sistem peringkat dan bukannya pada setiap hari.

“Perjumpaan pula dilaksanakan di tempat lawatan dan bukannya di klinik penjara. Berasaskan Peraturan 91, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, banduan boleh dibenarkan perjumpaan khas bagi urusan mustahak dan perlu disegerakan.

“Kemudahan ini turut diberikan kepada banduan lain dalam urusan berkaitan termasuk kematian, perniagaan, pelajaran dan urusan keluarga lain yang mustahak dengan keluarga perlu memohon terlebih dahulu. Hampir semua perjumpaan Anwar bersama keluarga, isterinya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ada bersama,” katanya.

Selain itu, jabatan itu menegaskan bilik penempatan banduan di klinik penjara termasuk bilik Anwar tidak boleh diakses oleh mana-mana banduan lain.

“Prosedur operasi standard (SOP) disediakan tidak membolehkan banduan lain berada di situ. Bilik Anwar juga hanya menghadap dinding laluan petugas (pegawai penjara) dan hanya boleh dilihat dari pandangan hadapan bilik berkenaan.

“Maka, dakwaan ‘Abang Mat’ dapat melihat Anwar dalam jarak 50 meter adalah mustahil dan satu rekaan cerita semata-mata,” katanya.

Jabatan itu juga memaklumkan Anwar ketika di penjara mahupun di hospital luar penjara tidak pernah melakukan apa-apa perbuatan melanggar tatatertib.

“Begitu juga pelawat yang melawat beliau di penjara dan hospital turut mematuhi tatatertib lawatan diberikan. Kawalan secara rapi oleh pegawai penjara menunjukkan Anwar sentiasa mematuhi peraturan penjara.

“Keperluan rawatan lanjut Anwar di hospital luar penjara adalah di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan dengan beliau turut mendapat rawatan dan pemeriksaan kesihatan di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Baca Lagi:
Kafe paling unik! direka dengan bentuk seperti serangga belalang, siap ada sesungut dan mata lagi
Bapa tak boleh jadi wali, sebab mak dengan bapa tak pernah berkahwin, berzina sampai 6 orang anak!
Kereta Roy Azman terbakar, isteri dan anak bongsu sempat selamatkan diri