Tertekan kekasih tak balas WhatsApp, remaja nekad terjun sungai di jambatan Tendong.
Seorang remaja yang sebelum ini dipercayai mengalami tekanan akibat putus cinta sekali lagi diselamatkan di Jambatan Tendong di sini hari ini.
Lelaki berusia 18 tahun itu sebelum ini sempat diselamatkan oleh pemandu lori yang melalui jambatan tersebut pada pukul 8.30 pagi, 25 September lalu.
Remaja tersebut dipercayai tertekan kerana kekasihnya tidak membalas kiriman WhatsApp setelah dia berhasrat untuk mengikat tali pertunangan dengan wanita itu.
Difahamkan, hubungan mereka kembali pulih selepas insiden pertama bulan lalu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Azhar Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.49 tengah hari tadi sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi.
Anggota bomba mendapati terdapat kes cubaan terjun, namun remaja itu sudah diselamatkan oleh orang awam yang melihatnya dalam keadaan mencurigakan di atas Jambatan Tendong.
“Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk mangsa dan menasihatinya agar tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.
“Siasatan mendapati, remaja itu tertekan selepas kekasihnya tidak menjawab kiriman WhatsApp,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azhar memberitahu, sebelum kejadian, remaja itu dipercayai ingin mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, tetapi wanita itu tidak membalas WhatsApp yang dihantarnya.