Terpedaya tawaran kerja online, pensyarah kolej rugi RM21,939. Seorang pensyarah kolej berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM21,939 lesap selepas dia terperdaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian bermula pada 1 Januari lalu selepas mangsa berusia 30 tahun menyertai satu iklan di sebuah laman sosial.
Katanya, wanita itu kemudian dikehendaki membuat tugasan bagi mendapat komisyen sebanyak 0.38 peratus.
“Mangsa berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan satu pautan untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.
“Setelah berbincang, mangsa memindahkan RM300 ke akaun bank yang diberikan dan memperoleh pulangan RM350.
“Dengan keuntungan RM50 yang diterima, mangsa mula percaya dan membuat sembilan kali pemindahan wang ke dua akaun bank,” katanya.
Ramli berkata, mangsa menggunakan wang simpanan sendiri untuk kesemua transaksi yang dibuat.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dan menyemak nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat transaksi.
Jangan lupa follow kami! Twitter , Facebook