Terdesak mahu guna duit, lelaki tahan kereta peronda polis untuk jual jam ‘G-Shock’.
Gara-gara kesukaran mencari pekerjaan dan terdesak untuk mendapatkan wang, seorang lelaki terpaksa menghentikan kereta peronda polis (MPV) bagi meminta bantuan untuk menjual jam yang dipakainya.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok Fandy Fiera, seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lelaki itu yang merupakan seorang bapa kepada dua orang anak, bertindak sedemikian kerana ingin mendapatkan sedikit wang untuk menanggung perbelanjaan keluarganya.
Video berdurasi 3.35 minit itu memaparkan lelaki berkenaan menawarkan jam yang dibelinya pada harga RM500 dan hanya mahu menjualnya dengan harga RM100 sahaja.
“Abang maaf ganggu. Boleh tak abang tolong beli jam ini? Saya betul-betul perlukan duit, ini bukan jam tiruan G-Shock.
“Dulu beli RM500, sekarang saya jual dengan abang RM100, tolong saya.
“Saya daripada pagi sampai petang cari kerja tak jumpa. Kerja apa pun saya boleh buat tetapi tiada yang mahu beri saya kerja,” kata lelaki tersebut pada hari Selasa.
Menurut anggota polis berkenaan, dia terkejut kerana menjangkakan lelaki tersebut mungkin tersesat jalan atau mahu bertanyakan mengenai sebuah lokasi yang ingin dituju.
Jelasnya lagi, hasil temubual bersama individu itu mendapati bahawa dia mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan wang untuk membeli barangan keperluan dua anaknya yang berumur 16 dan 12 tahun.
“Kami cuba mencadangkan agar dia menjual jam itu kepada sebuah syarikat tukar beli, namun dia berkata, mereka hanya mahu membeli dengan harga yang sangat rendah.
“Saya tak beli jam ini, tetapi saya beri duit, jadi simpan sahaja jam itu, tiada masalah,” ujar anggota polis tersebut.
“Semoga pejuang keluarga dipermudahkan urusan dalam mencari rezeki dan sentiasa dilindungi oleh ALLAH SWT,” jelas anggota polis berkenaan.
Menerusi video tersebut, kelihatan lelaki itu berasa serba salah kerana jam yang ingin dijual tidak dibeli, sebaliknya dia terus mendapat pertolongan kewangan. Kemudian, lelaki itu tidak ketinggalan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota polis yang bertugas ketika itu.
@bigredmachine3196 Terus berjuang ketua keluarga, Semoga Allah sentiasa melindungimu.. #pdrm #mpvpdrm #fypシ ♬ original sound – FandyFiera