Teka bendera salah, warga emas kena sapu bedak di muka.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Masjid telah menganjurkan pelbagai program di Felda Gunung Besout 2, di sini, bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan warga peneroka di kawasan tersebut.
Aktiviti program tersebut mendapat perhatian ramai selepas wakil unit media Sahabat Masjid, Khairol Anuar Hamzah, memuat naik sebuah video di akaun TikTok miliknya, @daknuar_.
Video yang meraih lebih 970,000 tontonan itu mencuit hati warganet yang terhibur melihat gelagat peneroka, terutama warga emas, yang cuba meneka bendera negeri-negeri dalam Malaysia.
Paling menggelikan hati adalah apabila warga emas disapu bedak pada wajah mereka sebagai denda kerana gagal meneka dengan tepat nama negeri bagi bendera yang ditunjukkan.
Bercerita lanjut, Khairol Anuar berkata aktiviti tersebut diadakan pada 24 Ogos lalu sebagai sebahagian daripada program sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Kebangsaan.
“Aktiviti ini merupakan kesinambungan daripada yang telah diadakan pada tahun-tahun sebelumnya.
“Tahun ini, kita teruskan lagi dengan tujuan bukan sahaja untuk memupuk semangat patriotik tetapi juga untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga peneroka.
“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang baik, dan saya tidak menyangka ia turut mencuri perhatian selepas dimuat naik di TikTok,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Seronok jugak tengok orang-orang tua main game macam ni 😁
orang lama bergurau pun tetap jaga hati.
teka nama bendera. pic.twitter.com/ftd1XgBY83
— ًِ (@bckupacc99) August 27, 2024
Menurut Khairol Anuar, selain teka bendera, pelbagai aktiviti lain turut diadakan dan menariknya, ia bersesuaian dengan semua lapisan umur.
“Antara aktiviti lain termasuk permainan badminton, ceramah agama, dan tayangan filem pada malam ambang merdeka serta pada hari ini.
“Selain itu, kami juga menganjurkan aktiviti sukaneka dan pertandingan pakaian beragam untuk kanak-kanak.
“Manakala, sukan rakyat dianjurkan bagi menarik penyertaan golongan ibu, dan besar harapan kami untuk menganjurkan lagi program sebegini pada masa akan datang,” katanya.