Tegur anak polis, guru sekolah kena penjara.
Seorang guru tidak tetap telah ditahan pihak berkuasa kerana ‘mendisiplinkan’ anak seorang anggota polis, menyebabkan bantahan dari pelbagai pihak.
Kejadian ini menimpa Supriyani, 37, yang berkhidmat di Sekolah Dasar Negeri (SDN) 4 di Baito, Kabupaten Konawe Selatan, Sulawesi Tenggara, selepas ibu bapa murid terbabit membuat laporan kepada pihak polis. Laporan tersebut mendakwa bahawa Supriyani telah mengasari D, 6, yang merupakan anak seorang anggota polis pada kejadian April lalu.
Menurut laporan, murid tersebut memberitahu ibu bapanya bahawa terdapat kesan luka pada bahagian belakang pahanya akibat dipukul oleh Supriyani menggunakan penyapu. Pada awalnya, siasatan mendapati D mengatakan luka itu berpunca daripada terjatuh ketika bermain di sawah. Namun, kenyataannya berubah setelah bapanya menyoalnya semula.
Jurucakap polis, Febry Syam, mengesahkan perkara ini pada hari Isnin. Kes ini menjadi perbincangan hangat di kalangan guru dan warganet, sehingga mencetuskan kempen ‘Save Ibu Supriyani’.
Pihak sekolah turut mengesahkan bahawa murid tersebut tidak dipukul seperti yang didakwa, tetapi ibu bapa murid berkenaan tetap tidak menerima penjelasan itu.
“Wakil sekolah telah meminta maaf kepada ibu bapa tersebut, namun permohonan maaf itu dianggap sebagai pengakuan salah dan dilaporkan kepada pihak berkuasa dengan bahan bukti,” kata jurucakap sekolah.
Difahamkan, ibu bapa murid berkenaan turut menuntut ‘wang damai’ sebanyak 50 juta rupiah (RM15,000) dan meminta Supriyani berhenti mengajar. Namun, Supriyani enggan membayar kerana hanya menegur anak mereka dan dia tidak berkemampuan.
Ketika ditemui media pada hari Selasa, Supriyani menangis dalam kegembiraan setelah mahkamah bersetuju untuk menangguhkan penahanannya. Dia telah dipenjarakan sejak 16 Oktober lalu. Supriyani, yang telah berkhidmat sebagai guru tidak tetap selama 16 tahun, dijadualkan hadir pada perbicaraan pertama kes itu pada hari Khamis.