Tawar khidmat seks melalui WhatsApp, ibu 7 anak di Kelantan didenda RM2,000.
Seorang suri rumah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu pada Isnin selepas mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan seksual melalui WhatsApp.
Tertuduh, Aniza Shakiera Ahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Wanita itu didakwa mencari langganan untuk tujuan persundalan di sebuah rumah tumpangan di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian, Kota Bharu, pada pukul 7.30 malam, 16 November lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan polis semasa Op Noda yang melakukan serbuan ke atas premis tersebut dan mendapati dia menawarkan perkhidmatan seksual dengan bayaran RM150 sekali langganan.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam Ariyani Mohd Amin @ Abdul Hamid dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.
Ariyani memohon hukuman denda dikurangkan dengan alasan tertuduh adalah seorang suri rumah sepenuh masa yang mempunyai tujuh anak, dan suaminya bekerja di kilang memproses ayam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dipenjara dua bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Baca Lagi: