Tak sempat keluar, mayat lelaki rentung ditemui depan pintu pangsapuri Flora Damansara. Mayat seorang lelaki ditemui hampir 40 peratus terbakar dalam kebakaran di sebuah unit kediaman di tingkat 21, Blok D Flora Damansara, Petaling Jaya, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa yang belum dikenalpasti identiti dan bangsa itu ditemui berdekatan pintu masuk rumah berkenaan.
Menurutnya, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima .aklumat mengenai kebakaran itu pada jam 9.12 malam tadi dan lelaki terbabit dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran itu.
“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian berlaku di rumah flat tingkat 21 dan menemui mayat dalam kediaman terbabit dalam keadaan tertiarap serta disahkan mati oleh pasukan perubatan bomba.
“Setakat ini butiran penuh mangsa yang dianggarkan berusia 30-an itu masih belum dipastikan. Mayat ditemui dalam keadaan hampir 40 peratus terbakar berdekatan pintu masuk rumah dipercayai cuba selamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba juga menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran pada awalnya kerana masalah tekanan air yang rendah.
“Sejurus api berjaya dipadamkan, pemeriksaan mendapati hampir 90 peratus rumah tersebut terbakar.
“Pihak Forensik daripada Maktab Cheras dan Balai Bomba Bukit Jelutong dipanggil untuk membantu siasatan dengan mengambil dua sampel iaitu cebisan baju dan kulit mayat,” katanya.
Beliau berkata, Forensik Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong juga turut menyiasat kebakaran berkenaan.
Mohamad Fakhrudin berkata, temubual saksi menyatakan mereka terdengar bunyi letupan yang kuat dari rumah lelaki terbabit beserta bunyi kaca pecah.
“Setelah saksi melihat, terdapat kebakaran di rumah mangsa dan cuba membantu tetapi gagal masuk kerana api telah marak.
Seorang penghuni sebuah unit pangsapuri di Flora Damansara, Petaling Jaya rentung selepas kediaman itu terbakar mlm tadi. pic.twitter.com/Y7ofIw1ywd
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) January 31, 2023
“Siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, untuk tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Sarjan Aktiviti Balai, Sarjan Ahmad Sabran Abdullah di talian 010-5585040 bagi membantu siasatan.