Tak sangka rupanya ini lokasi pertama mesin ATM dipasang di Malaysia yang ramai tak tahu.
Mesin juruwang automatik, atau lebih dikenali sebagai ATM, ialah peranti berkomputer yang membolehkan pengguna melakukan pelbagai transaksi kewangan tanpa memerlukan bantuan manusia.
ATM berfungsi dengan mengenal pasti identiti pengguna melalui kad ATM yang dilengkapi dengan jalur magnetik atau cip pintar sebelum meluluskan sebarang transaksi.
Pada masa kini, ATM boleh didapati di mana-mana sahaja, termasuk di stesen minyak, kedai runcit 24 jam, dan pusat membeli-belah. Kehadiran ATM memudahkan pelbagai urusan seperti pengeluaran wang, pemindahan dana, tambah nilai kredit, serta pembayaran bil utiliti.
Mesin ATM Pertama di Malaysia
Pernahkah anda terfikir, bank manakah yang pertama kali memperkenalkan perkhidmatan ATM di Malaysia? Selain itu, bilakah perkhidmatan ini diperkenalkan dan di mana lokasinya?
Untuk pengetahuan anda, Malayan Banking Berhad (Maybank), yang ditubuhkan pada tahun 1960, adalah bank pertama di Malaysia yang memperkenalkan perkhidmatan ATM.
Menurut laman web rasmi Maybank, mesin ATM pertama, yang dikenali sebagai Maybank Kawanku, diperkenalkan pada September 1981 dan ditempatkan di Maybank Ampang, Kuala Lumpur.
Jaringan perkhidmatan ATM Maybank Kawanku berkembang pesat, dan menjelang akhir dekad 1980-an, terdapat kira-kira 356 buah mesin ATM Maybank Kawanku di seluruh negara.
Mesin ATM Pertama di Dunia oleh Bank Barclays
Jika itu adalah kisah di Malaysia, bagaimana pula dengan peringkat global? Negara manakah yang menjadi pelopor perkhidmatan ATM?
Menurut portal Historic England, Bank Barclays di England merupakan institusi pertama di dunia yang memperkenalkan mesin ATM pada 27 Jun 1967.
Mesin prototaip ini berfungsi secara berbeza daripada mesin ATM moden. Pada waktu itu, pelanggan perlu memasukkan baucar kertas khas, seperti cek, yang dilengkapi titik tebuk bersama nombor pin empat digit mereka.
Proses pengesahan memerlukan tandatangan dan nombor pin, dan jika sepadan, mesin akan mengeluarkan wang kertas bernilai 10 pound.
Peranan ATM di Era Digital
Walaupun penggunaan dompet digital dan komuniti tanpa tunai semakin meluas, mesin ATM masih memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan kewangan kepada masyarakat. Kehadiran ATM terus relevan walaupun dunia semakin menuju ke arah transformasi digital.