‘Tak sampai seminit, bergerak 5 meter’ lelaki tarik pesawat hanya menggunakan kelopak mata raih perhatian.
Di dunia ini, terdapat pelbagai individu yang memiliki kekuatan luar biasa melebihi tahap manusia normal. Oleh itu, tidak hairanlah ramai yang cuba melakukan pelbagai percubaan untuk mempamerkan kelebihan masing-masing.
Salah seorang daripadanya ialah seorang ahli seni bela diri dari China, Dong Changsheng, yang pernah popular suatu ketika dahulu kerana kekuatan luar biasa pada kelopak matanya.
Kisah lelaki ini pernah tular di media utama dunia, dan dia masih memegang rekod sebagai manusia yang mampu menarik sebuah kapal terbang hanya dengan menggunakan kelopak matanya sahaja. Mengimbau semula percubaan yang dilakukannya pada tahun 2010, kekuatan kelopak mata Changsheng berjaya menggerakkan sebuah kapal terbang ringan seberat 560 kilogram sejauh lima meter. Aksi lagak ngeri itu dilakukan di Pusat Pameran Antarabangsa Changchun, wilayah Jilin, China.
Menurut laporan media tempatan, City Daily Newspaper, Changsheng tidak mengambil masa yang lama untuk melakukan aksi tersebut. Selepas meletakkan dua penyangkut besi di bahagian bawah kelopak matanya, dia dengan yakin menarik kenderaan besar seberat satu tan setengah itu dalam tempoh kurang dari seminit.
Untuk pengetahuan anda, lelaki yang telah aktif dalam seni bela diri Kung Fu sejak 50 tahun lalu ini sebenarnya memiliki beberapa rekod lain sebelum ini. Menurut Changsheng, dia pernah melakukan aksi menarik sebuah kereta dengan menggunakan kelopak matanya.
Ia dianggap pencapaian membanggakan dalam hidupnya apabila berjaya menggerakkan kenderaan beroda empat itu sejauh sembilan meter. Tambahnya, jarak pergerakan kenderaan tersebut berjaya diselesaikan selepas tiga kali percubaan dilakukan.
Mengulas mengenai percubaan beliau menarik kapal terbang, Changsheng menjelaskan bahawa itu adalah kali pertama dia menggunakan kekuatan super kelopak matanya untuk menggerakkan kenderaan sebesar itu. Dia juga mendedahkan bahawa dia tidak menggunakan keseluruhan kekuatan tenaganya sewaktu melakukan lagak ngeri tersebut.
Menurut Changsheng, aksi itu mungkin tidak dapat direalisasikan sekiranya dia tidak melakukan persediaan lebih awal. Dia sering mengamalkan latihan pernafasan serta senaman yang dianggap menjadi resipi kejayaan beliau dalam menjana kekuatan super, khususnya di bahagian kelopak mata. Secara tidak langsung, ia membantu lelaki ini mencipta rekod-rekod baru pada masa akan datang.
Changsheng menjelaskan bahawa latihan yang diamalkannya adalah Qigong, suatu teknik latihan purba yang menekankan prinsip postur badan yang diselaraskan dengan pergerakan, pernafasan, dan meditasi untuk tujuan kesihatan, kerohanian, serta latihan seni mempertahankan diri. Selain itu, amalan ini dipercayai mampu menyeimbangkan unsur qi atau tenaga hidup.
Berdasarkan falsafah dalam ajaran Tao, Buddha, dan Konfusianisme, Qigong berpotensi meningkatkan tahap kesedaran, membangkitkan sifat sejati, serta membantu daya keupayaan seseorang. Amalan ini biasanya melibatkan pelbagai gerakan meditasi, pernafasan berirama, aliran pergerakan tubuh perlahan, dan penumpuan minda yang tenang.
Qigong dipraktikkan oleh kebanyakan penduduk di China serta di seluruh dunia sebagai tujuan riadah, senaman, alternatif mencegah atau menyembuhkan penyakit, dan dalam latihan seni mempertahankan diri.
Selain itu, Changsheng turut berpesan kepada orang ramai agar tidak meniru aksinya kerana ia dianggap satu cabaran yang berbahaya dan sedikit kesilapan boleh mengundang padah.
Menurut pakar seni bela diri ini, dia akan mencuba beberapa cabaran lain pada masa akan datang dan merancang untuk menjelajah ke seluruh China bagi mempersembahkan kebolehan luar biasanya kepada semua rakyat di negara kelahirannya itu.
Selain Changsheng, terdapat seorang lagi individu dari negara tembok besar yang memiliki kebolehan menarik bebanan menggunakan kelopak mata, iaitu Yang Guanghe.
Menurut laporan dari portal Huffington Post, lelaki ini berjaya menggerakkan sebuah kereta jenis Mercedes Benz menggunakan kekuatan kelopak matanya. Cabaran tersebut disempurnakan di tempat kelahirannya, Anshun, dalam wilayah Guizhou, setelah sepuluh tahun berlatih menarik kereta menggunakan kelopak matanya.