Tak puas hati harga makanan, pelanggan tarik rambut peniaga.
Tular di media sosial sejak semalam insiden pergaduhan antara pelanggan dan peniaga di sebuah kedai makan dekat Selangor.
Dalam rakaman yang tular itu, kelihatan sepasang suami isteri bertindak menyerang dan mengasari seorang peniaga wanita selepas bertanya mengenai harga makanan.
Pelanggan wanita tersebut dilihat menarik rambut mangsa, manakala suaminya bertindak menolak peniaga itu sehingga terjatuh ke atas lantai.
Lebih mendebarkan, situasi tegang itu berlaku di kawasan dapur yang juga terdapat beberapa makanan sedang dimasak di atas dapur gas.
Difahamkan, kejadian itu bermula apabila pelanggan wanita tersebut dipercayai tidak berpuas hati dengan jawapan peniaga mengenai harga makanan yang dikenakan terhadap mereka.
Pergaduhan antara mereka menjadi semakin tegang apabila pelanggan wanita itu mula melemparkan barang-barang di kedai sebagai tanda protes, dan situasi ini berlarutan sehingga ke luar kedai.
Video tular di laman X dan Facebook itu telah mendapat lebih 300,000 tontonan, dengan rata-rata pengguna media sosial meninggalkan komen meminta pihak berkuasa menyiasat segera insiden tersebut.