‘Tak perlu save dah’ ini cara mudah hantar WhatsApp tanpa menyimpan nombor

Photo of author

By Syima Iza

‘Tak perlu save dah’ ini cara mudah hantar WhatsApp tanpa menyimpan nombor.

Kini, hampir semua orang di dunia menggunakan WhatsApp setiap hari. Namun, tidak semua di antara kita yang mahu menyimpan nombor sebelum menghantar mesej melalui WhatsApp. Jadi, dalam artikel ini, saya akan kongsikan 4 cara mudah untuk anda hantar WhatsApp tanpa perlu menyimpan nombor.

4 Cara Mudah Untuk Hantar WhatsApp Tanpa Menyimpan Nombor

'Tak perlu save dah' ini cara mudah hantar WhatsApp tanpa menyimpan nombor

Sewaktu artikel ini dikemaskini pada 26 Mac 2024, terdapat 4 cara yang boleh anda gunakan untuk menghantar WhatsApp tanpa perlu menyimpan nombor. Cara-cara tersebut termasuklah menggunakan aplikasi WhatsApp, pautan rasmi yang boleh disesuaikan, aplikasi yang dimuat turun atau melalui laman web pihak ketiga.

Keempat-empat cara ini sangat mudah untuk difahami dan digunakan, bergantung kepada pilihan dan keselesaan anda. Malah, anda juga boleh pra-isikan mesej mengikut kesesuaian untuk memudahkan orang lain, terutamanya bakal pelanggan, untuk menghubungi anda.

1. Menggunakan Aplikasi WhatsApp

Cara pertama yang boleh anda gunakan untuk menghantar WhatsApp tanpa perlu menyimpan nombor adalah dengan menggunakan aplikasi WhatsApp itu sendiri. Cara ini adalah cara yang paling mudah dilakukan berbanding dengan cara-cara lain yang dikongsikan di bawah.

Pertama sekali, buka aplikasi WhatsApp anda. Kemudian pilih Sembang baru (New chat) atau mana-mana Sembang sedia ada (Existing chat). Atau, anda juga boleh menggunakan Sembang diri sendiri (Message yourself) dengan menekan Sembang baru (New chat) dan memilih nombor anda sendiri.

Seterusnya, masukkan nombor telefon penerima mesej yang anda ingin hantar dan tekan butang Hantar seperti yang anda boleh lihat dalam gambar di bawah. Nombor tersebut akan bertukar menjadi warna biru setelah mesej tersebut dihantar.

'Tak perlu save dah' ini cara mudah hantar WhatsApp tanpa menyimpan nombor

Selepas itu, tekan nombor tersebut dan anda akan melihat pop up baru yang muncul seperti gambar di bawah. Sekiranya nombor yang dimasukkan itu salah atau pemilik nombor itu tidak menggunakan WhatsApp, anda akan melihat 2 jenis pilihan sahaja pada pop up tersebut.

Sebaliknya, sekiranya nombor yang dimasukkan itu betul atau pemilik nombor itu menggunakan WhatsApp, anda akan melihat 3 jenis pilihan pada pop up tersebut. Kemudian, anda boleh menekan pilihan Sembang dengan xxxx (Chat with xxxx) untuk menghantar mesej. Sila rujuk gambar di bawah.

'Tak perlu save dah' ini cara mudah hantar WhatsApp tanpa menyimpan nombor

Cara ini sangat mudah kerana anda boleh memadam mesej yang mengandungi nombor telefon tersebut setelah menghantar mesej itu. Selain itu, anda juga boleh memilih pilihan lain seperti membuat panggilan melalui WhatsApp tanpa perlu menyimpan nombor tersebut.

2. Menggunakan Pautan Rasmi WhatsApp

Cara kedua yang boleh anda lakukan adalah dengan menggunakan pautan mudah yang boleh disesuaikan. Cara ini juga sangat disyorkan kerana ia tidak melibatkan atau melalui mana-mana aplikasi dan laman web pihak ketiga. Jadi, ini adalah pilihan terbaik sekiranya anda risau mengenai privasi data anda.

Caranya sangat mudah, iaitu, hanya tambahkan nombor telefon beserta dengan kod negara ke dalam pautan di bawah. Sebagai contoh, kod negara bagi Malaysia adalah +60 dan nombor telefon untuk dihubungi pula adalah 0123456789. Jadi, pautan anda akan menjadi seperti wa.me/60123456789.

'Tak perlu save dah' ini cara mudah hantar WhatsApp tanpa menyimpan nombor

Pautan yang diberikan di atas adalah menggunakan API rasmi WhatsApp. Bagi mereka yang tidak tahu, API bermaksud Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (Application Programming Interface), iaitu sebuah sistem yang membolehkan anda berkomunikasi secara terus dengan server, dalam kes ini, server WhatsApp.

Anda mungkin akan mendapat ralat “Nombor telefon yang dikongsi melalui URL adalah tidak sah” (Phone number shared via URL is invalid) atau “Nombor telefon XXX tiada WhatsApp” (The phone number XXX isn’t on WhatsApp). Ini menandakan nombor tersebut menggunakan format yang salah atau tidak wujud dalam sistem.

Sebagai tambahan, anda juga boleh pra-isikan mesej terlebih dahulu menggunakan teks berkod URL bagi memudahkan orang yang menghubungi anda. Sebagai contoh, pautan di bawah ini akan memudahkan orang ramai menghubungi anda dengan mesej pra-isi “Sila PM harga” hanya dengan mengklik pautan ini.

wa.me/60123456789?text=Sila%20PM%20harga

Untuk menukar teks lain, anda boleh menggunakan penjana percuma teks berkod URL, antaranya Onlinetexttools.com, Urlencoder.org, atau Madeintext.com. Sila rujuk FAQ rasmi WhatsApp versi Bahasa Melayu atau versi Bahasa Inggeris untuk mengetahui lebih lanjut cara menetapkan mesej pra-isi ini.

3. Menggunakan Aplikasi

Seterusnya, cara ketiga yang boleh anda cuba untuk menghantar WhatsApp tanpa menyimpan nombor adalah dengan menggunakan aplikasi tambahan. Terdapat pelbagai aplikasi dengan ciri tambahan menarik yang boleh anda muat turun dan gunakan.

Di antara semua aplikasi ini, EasyMessage merupakan aplikasi yang paling popular. Ini kerana aplikasi ini boleh digunakan secara percuma dan tidak mengandungi sebarang iklan. Berikut adalah pautan yang anda boleh gunakan untuk memuat turun EasyMessage di Google Play Store dan Apple App Store.

Cara ini lebih mudah berbanding menggunakan pautan kerana anda hanya perlu memuat turun aplikasi ini dan memasangnya pada telefon anda. Kemudian, buka aplikasi ini dan masukkan nombor yang anda ingin hantar mesej, dan klik “Start Chat in WhatsApp”. Mudah, bukan?

Sekiranya anda memilih untuk menggunakan aplikasi berbanding pautan (kaedah kedua), jangan lupa untuk membaca Terma Perkhidmatan dan juga Dasar Privasi aplikasi tersebut. Ia akan memberitahu anda bagaimana data anda diproses atau disimpan oleh penyedia perkhidmatan tersebut.

4. Melalui Laman Web Pihak Ketiga

Jika anda tidak suka memuat turun dan memasang aplikasi ke dalam telefon, anda juga boleh menghantar WhatsApp tanpa menyimpan nombor dengan menggunakan laman web pihak ketiga. Antara beberapa laman web yang boleh anda gunakan adalah Easymessage.app dan Just-type.com.

Hanya buka mana-mana laman web pilihan anda. Kemudian, masukkan nombor WhatsApp dan tekan “Start Chat”. Untuk kemudahan masa akan datang, anda boleh menanda (bookmark) halaman tersebut dalam pelayar laman web (web browser) anda, supaya anda tidak perlu mengingat pautan URLnya.

Sama seperti menggunakan aplikasi, anda juga dinasihatkan supaya membaca Terma Perkhidmatan dan Dasar Privasi penyedia laman web ketiga di atas. Ini penting supaya anda boleh mengetahui bagaimana data anda diproses dan disimpan oleh penyedia laman web tersebut.

Baca Lagi:
“Perkara ini sudah melampau” – Pelawak Shahrol Shiro tegur Harith Iskander buat lawak persenda agama
Ini 10 kerja di luar negara anda boleh buat, lumayan!
Ini penjelasan pengurus i-City selepas tular gambar retakan pada cermin Water Slide i-City yang baru