‘Tak masuk akal’ tapi ada saksi lihat bigfoot mampu berlari 160 kilometer sejam.
Dua pengkaji Bigfoot, Brian dan Terrie Seech, mendakwa bahawa makhluk berbulu menyerupai beruk gergasi itu hidup di alam antara dimensi dan mampu berlari pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam.
Dalam satu wawancara bersama Andrew Callaghan dari stesen penyiaran Channel 5 awal bulan ini, mereka menyatakan bahawa Bigfoot adalah lebih bijak daripada manusia.
“Bigfoot menjauhkan dirinya daripada manusia. Ia lebih bijak, jadi ia tahu adalah perkara yang baik untuk menjaga jarak,” kata Brian.
Terrie pula menambah, “Ada Bigfoot yang boleh berlari sehingga 160 kilometer sejam dan bersaing dengan kereta. Terdapat saksi yang melihatnya. Ia tidak masuk akal tetapi itulah yang mereka lihat.”
Namun begitu, sehingga kini, tiada bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong kewujudan Bigfoot.
Penyelidikan dan analisis DNA terhadap sampel-sampel yang didakwa milik Bigfoot sering kali menunjukkan hasil yang negatif atau meragukan.
Legenda Bigfoot terus menjadi sebahagian daripada budaya popular, terutamanya di Amerika Utara, dengan banyak laporan penampakan dan bukti-bukti yang masih diperdebatkan kesahihannya.