“Tak boleh hidup tanpa dia”- Wanita nekad kahwin dengan lelaki OKU terlantar 5 tahun buat ramai warganet sebak

Photo of author

By Syima Iza

“Tak boleh hidup tanpa dia”- Wanita nekad kahwin dengan lelaki OKU terlantar 5 tahun buat ramai warganet sebak.

Tular di media sosial sebuah kisah menyentuh hati memaparkan seorang wanita yang nekad mendirikan rumah tangga bersama lelaki yang dikenalinya sejak 2010, meskipun lelaki itu kini berstatus orang kurang upaya (OKU).

Hantaran tersebut dimuat naik oleh pengguna TikTok, Mirasarinazari, memperlihatkan pasangan mempelai sedang menyarungkan cincin ke jari manis masing-masing.

"Tak boleh hidup tanpa dia"- Wanita nekad kahwin dengan lelaki OKU terlantar 5 tahun buat ramai warganet sebak

Pengantin perempuan, yang mesra dipanggil Eija, berkata walaupun suaminya, Muhammad Zainizam, sudah lima tahun terlantar dan tidak boleh berjalan akibat kecederaan saraf tunjang, perkara itu bukan halangan untuk membina kehidupan bersama.

“Dia (mesra dipanggil Mat Jenii) jatuh motosikal pada 2010, terlantar selama setahun kemudian boleh berjalan seperti biasa, cuma tak boleh buat kerja berat.

“Pada 2019, dia jatuh di bilik air. Itu yang menyebabkan dia terlantar sehingga sekarang. Dia perlu menjalani fisioterapi atau pembedahan, tetapi kes ini berisiko tinggi kerana pembedahan melibatkan saraf tunjang dekat dengan otak.

“Kalau nak makan, dia akan makan sendiri, cuma nak ke bilik air orang kena bawakan, tapi dia boleh mandi sendiri,” katanya.

Hantaran tersebut telah mengundang rasa sebak dalam kalangan warga maya, dengan tontonan mencecah 2.3 juta, lebih 132,000 tanda suka, dan 7,100 perkongsian.

Majoriti warga maya memuji kesungguhan dan ketulusan hati Eija yang sanggup menerima segala kekurangan suaminya.

Ditanya mengenai keputusan menikahi lelaki yang sudah dikenali selama 14 tahun, Eija mengakui tidak mampu hidup sekiranya suaminya tiada di sisi.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana sebab memang tak boleh hidup kalau dia tiada.

“Semasa sakit, dia pernah suruh saya tinggalkan dia dan mulakan hidup baharu. Katanya, dia tak mahu orang anggap dia terlalu pentingkan diri sendiri.

“Tetapi, saya memang tak boleh. Saya tetap teruskan hubungan ini,” ujarnya yang telah sah bergelar isteri pada 25 Disember lalu.

Baca Juga:
Sekumpulan individu berpakaian putih ‘Zikir’ di tanah perkuburan timbul tanda tanya
Rupanya ini fungsi butang “Emergency” di stesen minyak yang ramai tak tahu
Senarai negara paling ramai wanita bergelar janda, no.5 melebihi jumlah penduduk di Malaysia