Tak bayar gaji 4 bulan, pemain KL Rovers jual nasi lemak tepi jalan

Photo of author

By Syima Iza

Tak bayar gaji 4 bulan, pemain KL Rovers jual nasi lemak tepi jalan.

Isu tunggakan gaji semakin melarat apabila kali ini difahamkan ada pemain terpaksa menjual nasi lemak di tepi jalan bagi meneruskan kehidupan selepas tidak dibayar gaji selama empat bulan.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, pasukan Kuala Lumpur (KL) Rovers yang beraksi di Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank berdepan masalah pembayaran gaji sehingga menyebabkan pemain terpaksa mencari alternatif lain bagi meraih pendapatan, terutama mereka yang sudah berkeluarga.

Tak bayar gaji 4 bulan, pemain KL Rovers jual nasi lemak tepi jalan

“Perkara ini amat serius apabila ada pemain terpaksa menjual nasi lemak di tepi jalan dan ada yang terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan sambilan lain demi meneruskan bayaran komitmen bulanan kami.

“Jika perkara ini berterusan, ia akan menjejaskan karier kami dan kami akan berhadapan pelbagai masalah lain. Setiap minggu mereka (pihak pengurusan) berjanji dari seminggu ke seminggu sampai sekarang hampir empat bulan. Dari Mei, Jun, Julai dan separuh bulan tahun lepas.

“Jadi hampir empat bulan secara keseluruhannya. Itu belum campur bonus kemenangan tahun lalu, tahun ini, bonus layak ke Piala Malaysia dan Liga Super,” kata sumber kepada Arena Metro.

Malah, menurutnya, disebabkan isu tunggakan gaji itu, pasukan berkenaan mengalami kekurangan pemain untuk menghadapi perlawanan akan datang selepas ada di antara mereka mengambil langkah drastik dengan ‘memboikot’ latihan.

Katanya, beberapa pemain dan pegawai pasukan sudah menarik diri dan mereka tidak mahu meneruskan latihan dek kerana isu tunggakan gaji ini.

“Siapa nak main bola kalau gaji tidak dibayar? Kami tahu masalah kewangan pasukan ini adalah tempias daripada masalah serupa yang dihadapi pasukan induk Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) iaitu KL City FC.

“Kami harap seminggu ini pihak pengurusan KL Rovers dapat menyelesaikan kemelut ini. Difahamkan pihak penaja utama mula menyalurkan bantuan kewangan dan berharap mereka dapat selesaikan sepenuhnya atau sebahagian daripada gaji tertunggak melibatkan pemain dan pegawai pasukan agar kami dapat kembali semula berlatih dan menyertai perlawanan liga mengikut jadual,” katanya.

Selain itu, ekoran isu yang dihadapi KL Rovers ketika ini, pasukan itu terpaksa memohon jasa baik Liga Bolasepak Amatur (AFL) untuk menunda dua perlawanan yang bakal dihadapi KL Rovers sambil berharap pihak terbabit dapat mengatasi kemelut itu dengan secepat mungkin.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan KL Rovers adalah naib juara berganda selama dua musim berturut-turut di Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank (dulu dikenali sebagai Liga M3) dan layak bermain di Liga Super musim ini, tetapi tidak mendapat lesen dari pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atas sebab tertentu.

Setakat enam perlawanan awal, KL Rovers berada di tangga keempat dan dijangka sekali lagi akan menjadi pencabar utama untuk merebut kejuaraan liga dan layak bermain dalam saingan Piala Malaysia 2024 serta ke Liga Super 2025/26.

Sumber

Baca Juga:
Usahawan kosmetik Kelantan kena cerai talak satu ketika sedang Live TikTok
Hidup tak keruan selepas simpan baju kakak meninggal 5 tahun lalu dalam bantal
Lelaki buta sebelah mata selepas tampar lalat hinggap di muka