Syed Saddiq, Fahmi Fadzil kecam exco Terengganu hina Menu Rahmah. Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat yang didakwa ‘menghina’ Menu Rahmah bukan sahaja dikecam netizen, malah turut dibidas pemimpin politik.
Malah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang berkongsi video tular memaparkan perlakuan Exco Terengganu berkenaan di Twitter, turut menyelar tindakan tersebut.
Syed Saddiq yang menyifatkan tindakan Hanafiah sebagai memalukan berkata, ramai yang mendapat manfaat daripada inisiatif Menu Rahmah berkenaan terutama golongan susah.
“Bukan semua bergaji besar seperti YB Exco dan boleh makan di tempat yang mewah.
“Kalau tidak setuju pun, tiada keperluan untuk merendahkan martabat orang susah dengan meremehkan makanan mereka.” ciapnya di Twitter.
Dalam pada itu Fahmi berkata: “Hina rezeki satu perbuatan yang keji, tidak berakhlak,” ciapnya.
Terdahulu, tular satu video Hanafizah didakwa memperlekehkan Menu Rahmah yang dibeli olehnya.
Video itu dimuat naik pelayar Twitter, Shahbudin Husin mendakwa Hanafiah cuba memperlekeh Menu Rahmah dalam rakaman berkenaan.
“YB Hanafiah Mat, Exco Terengganu, dia cuba nak perlekeh Menu Rahmah tapi sebenarnya telah menghina rezeki daripada Tuhan,” ciap Shahbudin di Twitter.
Dalam video berdurasi 18 saat itu, Hanafiah dilihat mempamerkan Menu Rahmah yang dinikmati beliau sambil berungut menu berkenaan tidak berkuah.
“Ikan seekor, sayur kuah tidak ada pula. Ni kuah dia (sambil menuangkan teh kosong di dalam pinggan).
“Jadilah, baru rasa nasi. Bismillahirrahmanirrahim,” kata beliau dalam video berkenaan.
Video tular itu mendapat kecaman daripada netizen dengan rata-rata menyifatkan Hanafiah tidak sewajarnya bertindak sedemikian sekiranya tidak bersetuju dengan hidangan Menu Rahmah terbabit.