Syarikat pecat staf sebab tak mampu berlari sejauh 5km dalam masa 30 minit.
Sebuah syarikat pembuatan di China dikecam kerana didakwa memecat stafnya yang tidak mampu menghabiskan larian 5KM dalam masa 30 minit.
Justifikasi tindakan untuk memecat staf-staf yang tidak berjaya itu adalah kerana mereka dipercayai tidak memiliki semangat untuk bekerja keras.
Encik Liu, seorang lelaki yang tinggal di bandar Suzhou. wilayah Jiangsu, China telah memfailkan saman terhadap bekas majikannya.
Bekas majikannya didakwa menamatkan perkhidmatannya secara tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mampu berlari sejauh 5 kilometer.
Difahamkan, larian tersebut perlu dihabiskan dalam masa 30 minit sahaja dalam keadaan suhu 40 darjah Celcius.
Sebelum ini, Liu telah memohon pekerjaan di sebuah kilang bahagian mekanikal.
Selepas lulus dalam beberapa ujian praktikal termasuklah kimpalan elektrik dan pemotongan gas, lelaki berkenaan dimaklumkan bahawa dirinya berjaya mendapat pekerjaan di tempat tersebut.
Kemudian, Liu telah menggunakan wangnya sendiri untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mula berkerja dalam bahagian penyelenggaraan di syarikat tersebut.
Ketika itu, dirinya masih belum mengetahui bahawa terdapat satu ujian besar yang perlu dihadapinya.
Hanya beberapa hari selepas diterima masuk ke dalam syarikat, Liu dimaklumkan oleh seorang eksekutif bahawa dirinya perlu menyertai ujian larian jarak jauh.
Syarikat bakal pecat staf jika gagal habiskan larian 5KM dalam masa 30 minit
Bunyi seperti tidak masuk akal, namun rakan sekerja mengatakan bahawa ujian tersebut bukanlah satu bahan jenaka.
Rakan sekerja Liu memaklumkan, jika seseorang gagal menghabiskan larian sejauh 5 kilometer dalam masa yang ditetapkan, syarikat tidak teragak-agak untuk memecatnya.
Lebih sukar, Liu tidak memiliki masa yang cukup untuk berlatih dan ketika ujian dijalankan, suhu persekitaran mencapai takat 40 darjah Celcius.
Selain itu, Liu mendakwa mengalami simptom strok haba selepas dirinya berlari kira-kira dalam 800 meter di bawah pancaran matahari.
Disebabkan itu, lelaki berkenaan memilih untuk menyerah dan tidak menghabiskan ujian larian tersebut.
Walaupun dirinya tidak dapat menghabiskan larian tersebut, Liu kembali ke tempat kerjanya dan bekerja seperti biasa.
Pada keesokan harinya, dia telah dimaklumkan bahawa dirinya telah gagal dalam tempoh percubaan.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan menerangkan bahawa pekerja-pekerja baharu perlu menghabiskan larian tersebut dalam masa 30 minit sahaja.
Jelasnya, kegagalan untuk berbuat demikian menunjukkan individu tersebut tidak dapat memenuhi syarat lantikan iaitu, memiliki semangat juang yang tinggi.
Sungguhpun begitu, Liu tidak membiarkan dirinya dipecat begitu sahaja. Lelaki tersebut telah mengheret syarikat berkenaan ke mahkamah bagi menegakkan haknya.
Bagi Liu, syarikat berkenaan gagal memberitahunya bahawa dirinya perlu dinilai dalam ujian kecergasan fizikal sebelum menerimanya. Bukan itu saja, pembatalan tawaran kerja tersebut disifatkan tidak sah di sisi undang-undang.
Pada akhirnya, keputusan mahkamah memihak kepada Liu dan mengarahkan syarikat lamanya untuk bayar 7,000 yuan (RM4526.95) sebagai pampasan.