
Syamsul Yusof nak saman Jawi RM10 juta, Puteri Sarah desak dedahkan cerita sebenar
Syamsul Yusof nak saman Jawi RM10 juta, Puteri Sarah desak dedahkan cerita sebenar. “Fitnah? Okay kebenaran akan terbukti,” demikian sindiran pelakon Puteri Sarah Liyana berhubung kenyataan suaminya, Syamsul Yusof yang bakal mengenakan tindakan saman berjumlah RM10 juta terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berikutan maklumat peribadi disifatkan fitnah menjadi tular.
Menerusi hantaran itu, Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin mempersoalkan kebenaran gosip yang bertiup kencang itu.
“Jadi, betullah gosip itu? Okay mengaku sajalah. Tiba masanya untuk awak mengakui semuanya,” katanya ringkas.
Dalam hantaran berbeza menerusi Instagram (IG) Story, Puteri Sarah berkata, “Benda macam ini tiberrr (tiba-tiba) muncul.
“Tiberrrr (tiba-tiba) nak saman. For what? Benda baik tu baik umumkan sebelum menimbulkan fitnah dan prasangka buruk daripada keluarga sendiri,” tulisnya.
Semalam, Puteri Sarah memberi bayangan Syamsul sudah berkahwin dengan orang ketiga yang didakwa sebagai perosak rumah tangga, Ira Kazar menerusi Instagram (IG) Story.
Ia sekali gus menjawab gosip yang menjadi bualan ramai, sejak beberapa bulan lalu.
Menerusi hantaran dalam IG Story dimuatkan naik pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie dan Radhi Rudy Bin Dadu itu, Puteri Sarah dipercayai menyindir Syamsul dan Ira.
“Soroklah selagi boleh sorok. Kebenaran akan terbukti suatu hari nanti.
“Narsistik seperti anda akan sentiasa memanipulasi kebenaran. Saya tidak mahu terbabit dengan toksik.
“Penipu akan sentiasa menjadi penipu. Semoga anda berdua berjaya. Dua-duanya toksik,” tulisnya.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.