Suspek utama pembunuhan kejam Ratu Cantik tahun 1979 meninggal dunia, ini kisahnya yang ramai tak tahu.
Seorang bekas pensyarah psikologi S. Karthigesu yang pernah dibebaskan atas pembunuhan kejam bekas ratu cantik Jean Perera Sinnapa 44 tahun lalu telah meninggal dunia semalam.
Lelaki ini menghembuskan nafas terakhirnya di Teluk Pulai, Klang kira-kira jam 8.40 pagi semalam selepas menghidap sakit jantung dan demensia.
Dikatakan, baru-baru ini kesihatannya telah merosot dan Karthigesu telah dimasukkan ke dalam hospital swasta beberapa hari sebelum dibenarkan untuk pulang ke rumah.
Lelaki ini telah meninggalkan seorang isteri, dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Untuk pengetahuan korang, S. Karthigesu pernah menggemparkan negara selepas dia ditahan sebagai suspek utama pembunuhan Jean Perera Sinnappa yang berlaku pada 6 April 1979. Pembunuhan tersebut telah menjadi misteri sehingga hari ini dan terdapat juga beberapa dokumentari yang dibuat mengenai kes ini.
Untuk korang yang tak tahu, jom ikuti kisah penuh pembunuhan Jean Perera Sinnappa dan bagaimana S. Karthigesu boleh dibebaskan selepas menjadi satu-satunya suspek dalam kes ini.
Ratu cantik ditemui ditikam di tepi Federal Highway
Ia bermula pada satu malam apabila dua pekerja Malaysia Airlines (MAS) menemui mayat Jean Perera di dalam sebuah kereta.
Bekas ratu cantik yang kemudiannya bekerja sebagai guru sekolah di Negeri Sembilan ini telah ditemui ditikam lebih 10 kali di bahagian perut tangan dan dada dalam keadaan masih memakai seatbelt di tempat duduk penumpang kereta Fiat 125 berwarna putih.
Kereta ini ditemui berhenti di tepi jalan di kawasan tersembunyi di laluan bawah tanah Lebuhraya Persekutuan berhampiran Terminal Skypark Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
S. Karthigesu yang merupakan pemandu tiada di dalam kereta namun ditemui terbaring tak sedarkan diri di bahu jalan bersebelahan kereta tersebut. Dia merupakan abang ipar Jean Perera merangkap kekasihnya pada ketika itu.
Karthigesu memberitahu pihak polis bahawa mereka dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak di Klang dan telah berhenti di tepi jalan untuk membuang air kecil sebelum dia dipukul di belakang kepala oleh seseorang menyebabkan dia tak sedarkan diri serta tak ingat apa yang berlaku.
Kisah cinta tiga segi
Siasatan dalaman mendedahkan bahawa Jean Perera bukan sahaja seorang balu malah terlibat dalam cinta tiga segi. Ini kerana, bekas ratu cantik ini pada awalnya telah berkahwin dengan S Sinnappa iaitu adik kepada Karthigesu.
Sinnappa yang merupakan seorang ahli kimia telah meninggal dunia dalam kemalangan kereta di Petaling Jaya pada malam tahun baru iaitu empat bulan sebelum pembunuhan Jean.
Selepas kematiannya, Jean dan tiga anaknya telah berpindah dan duduk dengan ibu mertuanya dan abang iparnya Karthigesu.
Dikatakan, Karthigesu dah lama menaruh harapan dan suka dengan adik iparnya ini namun tak pernah buat apa-apa kerana melihatkan perkawinan tersebut bahagia. Namun sejurus selepas adiknya meninggal dunia, Karthigesu dikatakan tak melepaskan peluang dan terus melamar Jean untuk berkahwin dengannya.
Pasangan ini dikatakan sangat dilamun cinta sehinggakan mustahil untuk fikir bahawa Karthigesu sanggup membunuh kekasihnya itu.
Tapi siasatan lanjut yang dilakukan mendedahkan bahawa Jean mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Sri Lanka, Dr Narada Marnasurya di mana mereka telah saling berutus surat cinta sejak wanita ini masih berkahwin dengan Sinnappa dan hubungan itu diteruskan walaupun Jean kini dalam perhubungan dengan Karthigesu.
Pihak polis telah menemui sebanyak 19 pucuk surat di antara Jean dan Narada dan salah satu daripadanya turut ada bercakap tentang niat mereka untuk berkahwin. Narada telah dikesan oleh pihak berkuasa namun menolak untuk memberikan testimoni di mahkamah. Dikatakan, pasangan ini bertemu di satu majlis pada tahun 1978.
Penemuan tentang cinta tiga segi ini telah memberikan beberapa motif terhadap Karthigesu. Spekulasi mengatakan bahawa lelaki ini telah membunuh adik iparnya kerana cemburu atau membalas dendam bagi pihak abangnya.
Karthigesu ditahan dan menjadi suspek utama pembunuhan
Beberapa bukti kemudiannya ditemui sehingga mendorong pihak polis untuk menangkap dan mendakwa Karthigesu pada 9 Mei tahun yang sama.
Pensyarah ini telah menjadi suspek utama selepas pihak forensik gagal menemui kesan air kencing di sekitar kawasan tempat kejadian. Tak cukup dengan itu, pihak polis juga tidak menemui apa-apa kecederaan pada Karthigesu walaupun dia mendakwa telah diserang.
Pun begitu, tiada sebarang kesan darah yang ditemui pada bajunya telah menjadi bukti kukuh untuk Karthigesu kerana mustahil untuk tikam seseorang beberapa kali tanpa mempunyai percikan darah.
Selepas empat bulan, perbicaraan kes ini bermula. Ia dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Di mana sekeping gambar menunjukkan Karthigesu berada di sebelah kereta dan baju kuning berlumuran darah yang dipakai oleh Jean telah dijadikan bahan bukti.
Selepas 38 hari perbicaraan ini dijalankan dengan mendengar kenyataan seramai 58 saksi, Karthigesu telah didapati bersalah membunuh Jean Perera Sinnappa.
Ia telah mencipta sejarah sebagai kes pertama yang didakwa berdasarkan keterangan mengikut keadaan serta pengakuan di luar undang-undang.
Di antara saksi yang memberikan kenyataan termasuklan wartawan Lee Ah Chai yang pernah bercakap dengan Karthigesu semasa pengebumian Jean dan wartawan Laksmi Natarajan yang membuat liputan kes ini sejak hari pertama.
Karthigesu dibebaskan sebab…
Selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh adik iparnya, Karthigesu telah menjalani hukuman penjara dua tahun sebelum dia dibebaskan kerana seorang lelaki bernama Bandhulanda Jayathilake.
Di antara kesemua saksi yang memberikan keterangan, Bandhulanda yang merupakan kawan keluarga Karthigesu ini merupakan saksi utama dan juga sebab utama dia didapati bersalah.
Ini kerana, Bandhulanda memberikan keterangan bahawa tertuduh sebelum ini pernah mengatakan kepadanya bahawa Jean “layak mati” sebelum pembunhan tersebut berlaku.
Namun begitu, segalanya berubah apabila saksi ini membuat keputusan untuk mengaku bahawa kenyataan yang diberikannya sebelum ini adalah palsu sehingga dia dihukum penjara 10 tahun kerana melakukan sumpah bohong namun meninggal dunia di dalam penjara dua tahun kemudian.
Ekoran kekurangan bukti, mahkamah tiada pilihan lain selain membebaskan Karthigesu pada 20 Mei 1981 selepas lelaki ini dipenjarakan selama dua tahun empat hari.
Sehingga hari ini, kes pembunuhan Jean Perera Sinnappa kekal menjadi misteri ekoran tiada petunjuk, suspek mahu pun bukti baharu.
Selepas dibebaskan, Karthigesu telah tinggal di Klang dan berkahwin serta dikurniakan dengan tiga orang anak sebelum dia dilaporkan meninggal dunia semalam pada usia 81 tahun.