Suspek simbah asid pada Faisal Halim berjaya dicekup, direman 2 hari

Photo of author

By Syima Iza

Seorang lelaki telah ditahan selama dua hari bagi membantu siasatan kes serangan dengan simbah asid terhadap pemain pasukan Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail menyatakan bahawa suspek warga tempatan berusia lingkungan 20-an itu akan direman sehingga esok.

“Permohonan reman telah diajukan di Mahkamah Petaling Jaya pagi tadi dan perintah reman telah dikeluarkan oleh Majistret Nur Natasya Mohtarudin,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Buletin TV3.

Suspek simbah asid pada Faisal Halim berjaya dicekup, direman 2 hari

Beliau menjelaskan bahawa suspek yang bekerja di sebuah syarikat penapis air itu ditahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

UtusanTV melaporkan sebelum ini, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey telah mengalami kecederaan tahap dua akibat disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Lembah Klang.

Penyerang yang terkenal dalam pasukan Selangor FC itu menjadi pemain kebangsaan kedua yang diserang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selepas nasib malang menimpa pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid.

Baru-baru ini, Akhyar yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) telah diserang secara kejam di Terengganu oleh beberapa individu yang turut melakukan pencerobohan sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian kepala dan badan.

Baca Juga:
‘Dah book tapi tak datang’ – Pemilik restoran di Jepun bengang dedah identiti pemandu pelancong dari Malaysia
Selepas 12 hari bernikah, rupa-rupanya isteri ku seorang lelaki
Selepas Akhyar, Faisal Halim diserang, ramai cadang pemain bola ‘pasang’ bodyguard