Susah rupanya jadi menteri

Photo of author

By Syima Iza

Susah rupanya jadi menteri. Sedar tak sedar, sudah hampir dua bulan barisan menteri yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dalam tempoh ini sudah cukup untuk rakyat Malaysia menilai menteri mana yang bijak dan rasional dalam mencari penyelesaian terhadap segala isu berbangkit terutamanya melibatkan kebajikan rakyat.

Mereka tidak boleh sekadar memberikan penyelesaian sepintas lalu atau mengambil cara mudah untuk menunjukkan keprihatinan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Sebagai contoh, masalah kekurangan telur dan harganya yang melambung tinggi sejak sekian lama, tidak boleh diselesaikan dengan hanya mengimport bekalan itu dari negara luar.

Susah rupanya jadi menteri

Rakyat mahukan jalan penyelesaian secara tuntas dan lebih praktikal kerana isu ini sudah lama membelenggu kehidupan mereka.

Lagipun, pastinya pihak menteri sedar isu telur bukan baharu, tapi sudah lama berlarutan dan pernah menjadi polemik politik oleh sesetengah pihak.

Jadi apabila menteri hanya dapat memberikan penyelesaian yang bersifat sementara pastinya sedikit sebanyak menghampakan rakyat.

Rakyat mahukan isu yang tidak dapat diselesaikan kerajaan terdahulu itu diuruskan dengan baik oleh kerajaan yang baharu.

Harapan rakyat amat tinggi agar isu kekurangan bekalan dan kenaikan mendadak harga telur tidak lagi membelenggu kehidupan seharian mereka.

Begitu juga dalam isu kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga barang di pasaran yang juga masih tiada penyelesaian tuntas.

Biarpun dua kementerian diwujudkan bagi menyelesaikan dua permasalahan berkenaan iaitu Kementerian Ekonomi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, namun sehingga hari ini, belum nampak solusi baharu kecuali bantuan khas untuk rakyat yang dijenamakan semula.

Rakyat tidak mahukan satu solusi jalan pintas terhadap kemelut yang melanda kehidupan mereka itu tapi mahukan satu tindakan yang nampak keberkesanan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Para menteri tak boleh memberikan solusi yang dilihat seperti tangkap muat tanpa pengukuhan daripada aspek tindakan secara praktikal.

Mungkin inilah satu pembelajaran baharu kepada menteri-menteri yang kebanyakannya tiada pengalaman sebagai wakil kerajaan.

Mungkin juga sekarang baru mereka tahu lebih mudah jadi pembangkang, berbanding bila duduk di kerusi kerajaan.

Baca Lagi:
Bolehkah ‘Security Guard’ ambil atau simpan IC kita? Dengar apa kata peguam ini
Pengunjung ‘fun fair’ tergantung di udara dalam keadaan terbalik selepas permainan terhenti tiba-tiba
Majlis Ayahanda Harimau Kumbang diserbu, 8 ahli baru tak sempat angkat sumpah