Surirumah ‘kantoi’ buat laporan palsu diragut penunggang motosikal, rupanya nak claim insuran.
Suri rumah ditahan polis selepas membuat laporan palsu kononnya diragut oleh dua individu menaiki motosikal.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Abd Gani berkata suspek sebelum itu membuat laporan polis jam 1.50 tengah hari kelmarin yang mendakwa diragut pada 12.45 tengah hari, hari sama.
Katanya suspek mendakwa diragut ketika keluar daripada kereta untuk membeli petai di tepi Jalan Besar Juasseh – Batu Kikir sebelum beg tangan suspek diragut dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.
“Suspek mendakwa kehilangan mata wang tunai asing, barang kemas, telefon bimbit, kad ATM dan seutas jam tangan pintar.
“Anggaran kerugian didakwa suspek lebih kurang RM40,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Amran berkata, polis yang menjalankan siasatan kejadian mendapati kejadian samun itu tidak berlaku.
Katanya, siasatan mendapati suspek membuat laporan palsu bagi membuat tuntutan dari syarikat insurans pelancongan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat laporan polis yang palsu kerana boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.