Suri rumah hilang ditemui mati dibunuh dalam bilik tidur.
Seorang suri rumah yang dilaporkan hilang ditemui mati di dalam bilik tidur dengan kesan jerutan, dipercayai dibunuh, di sebuah rumah di Indera Mahkota di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa yang berusia 28 tahun ditemui pada pukul 7.30 malam selepas laporan polis mengenai kehilangannya dibuat oleh bapa wanita itu pada pukul 3.25 petang.
“Pengadu membuat laporan polis kerana mangsa gagal dihubungi. Kali terakhir mangsa dihubungi oleh bapanya adalah pada pukul 8.30 pagi semalam melalui pesanan WhatsApp.
“Pada pukul 7.30 malam, pengadu (bapa mangsa) dihubungi oleh suami mangsa yang memaklumkan bahawa isterinya tidak sedarkan diri dalam bilik tidur di bahagian tengah rumah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati terdapat kesan jerutan pada leher si mati dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat.
Setakat ini, seramai empat individu berusia 27 hingga 62 tahun, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.