Sudah 12 tahun dikebumi, kain kafan arwah ibu masih utuh.
Ancaman hakisan yang berlaku di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras, di sini, menyebabkan lima jenazah, termasuk tiga yang masih berkain kafan, terpaksa dikebumikan semula selepas beberapa kubur runtuh akibat hakisan ombak yang melanda tanah perkuburan tersebut pada Sabtu.
Bagaimanapun, seorang waris, Siti Idayu Mohd Ali, 41, berkata, dia terkejut apabila melihat kain kafan arwah ibunya masih berada dalam keadaan baik meskipun sudah 12 tahun dikebumikan.
“Arwah mak meninggal pada tahun 2012. Saya dimaklumkan tentang perkara itu selepas melihat status WhatsApp dan Facebook penduduk kampung.
“Jadi, pada jam 8.30 pagi tadi saya datang untuk melihat kubur arwah ibu. Alhamdulillah… kain kafan arwah ibu masih baik dan tak hancur,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras pada Sabtu.
Sementara itu, seorang lagi waris, Nursyuhada Alias, 19, berkata ancaman hakisan tersebut semakin memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Justeru, Nursyuhada berkata, kubur arwah neneknya, Puteh Omar, sememangnya terletak di tepi pantai dan sangat berisiko untuk runtuh akibat hakisan tersebut.
“Jadi, kami sekeluarga berharap agar pihak berkuasa mengambil satu langkah untuk menangani isu ini supaya tidak berlaku lagi insiden yang sama,” ujarnya.
Tinjauan mendapati kerja-kerja mencari rangka jenazah untuk dipindahkan ke tanah perkuburan lain yang lebih selamat daripada ancaman hakisan masih giat dijalankan.
Difahamkan, terdapat lapan kubur yang akan dialihkan dan kesemua jenazah tersebut sudah tidak sempurna kecuali dua jenazah yang masih mempunyai tengkorak.
Proses pengebumian semula itu dijangka dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Hajar, Kampung Awang Lib pada petang tersebut.
Ketika ini, terdapat lebih 200 jenazah yang disemadikan sejak tanah perkuburan itu dibuka di kampung tersebut lebih 70 tahun lalu.
Sementara itu, Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun menyatakan bahawa pihak Jabatan Agama Islam dan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah diberi kebenaran untuk menggali dan memindahkan beberapa kubur yang berpotensi dihanyutkan ombak dengan segera.
“Proses tersebut perlu dilakukan kerana risiko lebih banyak kubur hanyut akibat hakisan disebabkan Monsun Timur Laut yang melanda Terengganu ketika ini,” jelas beliau.
@tranungpost Tengkujuh yang tidak dijangka. Semoga dipermudahkan segala urusan pengalihan kubur yang terkesan akibat ombak di Pantai Pengkalan Maras. #fyp #foryou #monsoon #banjir2024 #banjir #monsuntimurlaut #terengganu #terengganudaruliman ♬ Very Sad – Enchan