Suara merdu Siti pukau David Foster, lepas nyanyi lagu ‘The Power Of Love’ minta lagu ‘All By Myself’ pula.
“Dia miliki suara yang indah, saya suka dia,” kata maestro muzik terkenal, David Foster, 73, yang terpukau kemerduan suara penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika mendendangkan lagu The Power Of Love nyanyian asal, Celine Dion.
Kelunakan suara Siti ketika muncul dalam Konsert Hitman David Foster & Friends Asia Tour 2023 di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, semalam bukan sahaja memikat hati komposer terkenal yang memenangi 16 trofi Anugerah Grammy itu, malah turut mendapat tepukan gemuruh penonton.
Foster bermain piano mengiringi persembahan Siti memuji kehebatan vokal penyanyi nombor satu negara itu ketika menyampaikan lagu yang disifatkan antara karya yang sukar dinyanyikan.
Seakan tidak puas mendengar pemenang Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular BH 2012 itu menyanyi, komposer yang banyak menghasilkan lagu hit ini meminta Siti menyanyikan lagu All By Myself juga dipopularkan Celine secara spontan.
Meskipun hanya menyanyikan lagu All By Myself beberapa rangkap sahaja, nyanyian Siti tetap merdu dan masih boleh mengikut lenggok Celine.
“Saya akan cuba menyanyikan lagu All By Myself dalam konsert akan datang. Namun, kena buat banyak latihan sebab lagu ini agak tinggi,” kata Siti.
Siti kemudiannya meneruskan persembahan dengan mendendangkan lagu Sehebat Matahari hasil ciptaan Aubre Suwito dan lirik ditulis oleh Rozi Sangdewi. Lagu ini turut dimuatkan dalam album terbaharu, SITISM yang dilancarkan, bulan lalu.
THE POWER OF LOVE ❤️
SITI NURHALIZA X DAVID FOSTER
SEDAPNYAAAA SUARA SITI NURHALIZAAAAAAAAAA!! HAPPY DENGAR SUARA DIA MAKIN SEMBUH MACAM NI!! YANG BITTER SURUH BEREHAT BERSARA BAGAI TU MESTI TENGAH MENGGELUPUR KEPANASANNN!! LURVEEEEEE SITIII!!pic.twitter.com/ZBvIS5DZ9c
— PELANGI MENJELMALAHHHHHHH (@IniAlalalannn) August 7, 2023
Ini bukanlah kali pertama Siti dan Foster bergabung kerana pernah berkongsi pentas menjayakan Malam Gala Formula One di Litar Antarabangsa Sepang pada 2014.
Selain Siti, konsert berdurasi 90 minit itu turut menampilkan penyanyi popular seperti Peabo Bryson, Michael Bolton, Katharine McPhee dan Loren Allred.
Sepanjang tempoh itu, penonton3 bagai dibawa kembali ke era 1990-an menerusi seleksi yang dinyanyikan seperti I Will Always Love You, I Have Nothing, A Whole New World, Beauty and The Beast , How Am, I Supposed To Live Without You, Never Enough, The Prayer dan banyak lagi.
Konsert berkonsepkan hiburan sambil beramal itu dianjurkan Yayasan Prihatin Selangor (PRIHATIN) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent. Ia bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.