Suami sempat lindungi saya dan bayi perempuan kami dengan sebelah tangannya.
“Saya tak dapat lupakan kejadian itu apabila arwah suami dengan spontan menghulurkan tangan kirinya untuk melindungi saya dan anak kami yang berusia lapan bulan sebaik ternampak sebatang pokok yang terbakar hendak tumbang ke arah kereta kami.”
Itu kata Nur Hafizah Ahmad Zamri, 25, isteri kepada Mohd Robbil Adam Mohd Rizal, 27, yang meninggal dunia selepas kereta jenis Proton Saga BLM yang dinaiki mereka dihempap dahan pokok terbakar di Jalan Hutan Kampung, Kampung Bohor di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, mangsa memandu kereta bersama isteri dan anak mereka, Hawa Raisya Aulia Mohd Robbil Adam serta kakak ipar mangsa, Nur Musfirah Ahmad Zamri, 33, dan anak saudaranya, Nur Safiera Huda Muhamad Saifuddin, 13.
Ketika itu, mereka dalam perjalanan pulang selepas menikmati makan tengah hari bersama keluarga ibu bapa mentua mangsa di Hutan Kampung dengan menaiki kenderaan berasingan.
“Kami tiga beranak bersama kakak dan anaknya menaiki sebuah kereta dan baharu sahaja bergerak keluar dari restoran sebelum ternampak sebatang pokok di bahu jalan dalam keadaan terbakar.”
“Sebelum sempat saya nak sebut ada pokok terbakar, dahan pokok itu terus tumbang betul-betul di atas kereta tempat duduk pemandu dan suami menjerit “Allahuakbar”.”
“Suami sempat melindungi saya dan bayi perempuan kami, Hawa Raisya Aulia dengan sebelah tangannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Menurut Nur Hafizah, dia kemudian memeluk erat anaknya dan terus membawanya keluar sebaik kereta itu berhenti kerana terbabas dan melanggar sebuah kereta lain.
“Ketika itu suami sudah tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebelum disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Nur Hafizah berkata dia hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada tangan, manakala bayinya serta kakak dan anak saudaranya tidak cedera.
Dalam pada itu, katanya, arwah suaminya ada menunjukkan perubahan apabila kerap menyebut dia akan pergi dulu dan mungkin tidak akan dapat lagi berbual dengan saudara mara nanti.
“Dia banyak kali cakap selepas ini tak boleh dah nak sembang dengan adik beradik dan saya tegur dia kenapa cakap macam itu, namun arwah hanya mendiamkan diri.”
“Saya fikir arwah hanya bergurau, namun hari ini ternyata arwah pergi dahulu meninggalkan saya dan anak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.