Suami sakit kronik, isteri ganti jadi ‘runner’ hantar dadah

Suami sakit kronik, isteri ganti jadi ‘runner’ hantar dadah

Suami sakit kronik, isteri ganti jadi ‘runner’ hantar dadah. Selepas suami mengalami masalah kesihatan akibat penyakit kronik, isterinya pula meneruskan kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan lelaki berkenaan sejak tahun lalu.

Kegiatan pasangan warga tempatan itu berjaya dibongkar susulan penahanan mereka di Batu Uban di sini, Ahad lalu, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 45 dan 42 tahun itu ditahan di tepi jalan di kawasan berkenaan pada jam 12 tengahari.

Suami sakit kronik, isteri ganti jadi 'runner' hantar dadah

Berpandukan maklumat daripada suspek wanita, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium di Gelugor, pada jam 2.10 petang hari yang sama.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menemukan sejumlah dadah jenis syabu dan ganja dianggarkan bernilai RM251,464 selain paket syabu bernilai RM31,000 dalam milikan suspek wanita yang kesemuanya berjumlah RM282,464.

“Pasangan itu mempunyai rumah sendiri tetapi menyewa kondominium berkenaan pada kadar RM1,300 sebulan sebagai tempat membungkus dan menyimpan dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, siasatan mendapati kegiatan itu sudah dijalankan sejak Jun tahun lalu bagi pasaran tempatan di sekitar Pulau Pinang.

Katanya, sebelum ini, aktiviti edar dadah dilakukan suspek lelaki namun selepas mengalami masalah kesihatan berikutan penyakit kronik, isteri suspek mengambil alih kerja menghantar dadah berkenaan sejak empat bulan lalu.

“Pasangan yang juga penganggur itu tidak mempunyai cahaya mata dan menggunakan motosikal bagi mengedar dadah di sekitar Pulau Pinang.

“Turut disita ialah barang kemas bernilai RM12,800; kenderaan RM11,000 dan secara keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan berjumlah RM306,264,” katanya lagi.

Menurut Soffian, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

“Semakan juga mendapati pasangan itu masing-masing mempunyai satu rekod berkait dadah.

“Mereka direman selama tujuh hari sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Baca Lagi:
Amazon umum pelaburan RM25.5 billion, yakin urus tadbir politik Malaysia
Tular video lelaki mirip bekas pegawai kanan polis bergaduh dengan isteri kedua
8 bulan menjanda akhirnya aku kahwin dengan student sendiri, 10 tahun lebih muda dari aku
CATEGORIES