Suami kantoi curang dengan guru janda, isteri nekad lapor sekolah.
Seorang isteri di Pangandaran, wilayah Jawa Barat, nekad mendedahkan perbuatan seorang guru yang menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya untuk memberi pengajaran kepada wanita tersebut, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.
Menurut ibu dua anak yang dikenali sebagai MAW, 35, dia mula mencurigai tingkah laku suaminya sejak sebulan lalu sebelum menemui bukti kecurangan lelaki itu melalui perbualan di aplikasi WhatsApp.
“Mereka pernah mendaftar masuk ke hotel dan (suami) menjemput wanita itu dengan menaiki kereta saya,” katanya.
Tambah MAW, teman wanita suaminya itu kemudiannya disahkan seorang guru berstatus janda yang mengajar di sebuah sekolah di Pangandaran.
“Saya pergi ke sekolahnya dan meminta penjelasan daripadanya. Perkara itu akan dilaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah,” ujarnya.
Menurut MAW, dia nekad mendedahkan perkara itu kepada pihak sekolah bagi memastikan guru tersebut menerima hukuman yang setimpal atas perbuatannya yang tidak mencerminkan imej seorang pendidik.