Suami isteri terkejut beli hotdog untuk anak dicaj RM3,464.
Sepasang suami isteri di Britain terkejut apabila dikenakan bayaran sebanyak £618 (RM3,464) untuk dua makanan hotdog di sebuah pasar Krismas, lapor portal berita Mail Online semalam.
Laure Brumpton, 34, dan suaminya, Alan, 37, membeli makanan tersebut untuk dua anak mereka di pasar Krismas Nottingham.
Namun, semasa melakukan pembayaran, pasangan itu terperanjat apabila caj yang dikenakan jauh lebih mahal daripada jangkaan mereka.
“Harga untuk dua hotdog melebihi £600 (RM3,464) dan bukannya sekitar £18 (RM101) seperti yang dijangkakan,” kata mereka.
Peniaga yang bertanggungjawab segera memohon maaf dan menjelaskan bahawa berlaku kesilapan ketika menetapkan bayaran untuk hidangan tersebut.
Menurut peniaga itu, bayaran berlebihan tersebut akan dipulangkan kepada pasangan berkenaan.
“Kami masih menunggu bayaran balik itu walaupun sudah seminggu selepas kejadian berlaku,” tambah pasangan tersebut.