Suami isteri hanya sempat bergelar ‘bilionaire’ 4 hari setelah RM209 billion tersesat masuk dalam akaun bank.
Sepasang suami isteri bergelar ‘bilionaire’ sekelip mata gara-gara sejumlah wang bernilai $50 bilion (RM209 bilion) ‘tersesat’ secara tidak sengaja ke dalam akaun bank milik mereka, memetik laporan New York Post.
Menurut laporan, Darren James (suami) dari US itu telah diberitahu isterinya mengenai baki akaun mereka. Pada mulanya dia terkejut apabila melihat sendiri jumlah wang yang begitu banyak tertera dalam akaun.
“Saya amat terkejut melihat jumlah wang sebanyak itu sepanjang hidup saya. Selepas saya melihatnya, saya tidak terfikir untuk menyimpannya.
“Namun, perkara itu menjadi tanda tanya kepada saya kerana saya pelik mana datangnya duit itu.
“Dalam kenalan rapat saya, tiada siapa pun yang mempunyai sejumlah wang sebanyak itu,” kata James, memetik New York Post.
Mereka kemudiannya menghubungi pihak bank dan melaporkan mengenai kesilapan transaksi yang terjadi itu.
Susulan laporan diterima, pihak bank terus memproses kesilapan teknikal yang terjadi itu.
Namun pihak bank tidak mendedahkan punca dan sebab mengapa wang tersebut boleh didepositkan ke dalam akaun James.
Menurut James, dia sedar bahawa wang itu bukan milik mereka dan ia tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya.
James yang juga bekerja dalam bidang perundangan mengatakan bahawa jika mereka menggunakan duit tersebut, ia boleh dianggap sebagai satu kecurian.
Difahamkan, isu mengenai kesilapan teknikal itu telah diselesaikan oleh pihak bank dan baki akaun mereka kini menunjukkan amaun asal yang tepat.
Pasangan itu hanya sempat menjadi orang ke-25 terkaya di dunia selama empat hari sebelum baki mereka kembali kepada normal.