Suami ditahan selepas pelakon Zahnita Wilson dedah foto mata lebam

Photo of author

By Syima Iza

Suami ditahan selepas pelakon Zahnita Wilson dedah foto mata lebam.

Suami kepada pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson, ditahan polis hari ini untuk membantu siasatan selepas wanita itu mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini bagi membantu siasatan.

Suami ditahan selepas pelakon Zahnita Wilson dedah foto mata lebam

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuantan esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, menurut sumber, kejadian berlaku pada jam 10 pagi 26 November lalu apabila pelakon terbabit berada di kediamannya di Kuantan didatangi suaminya sebelum berlaku perselisihan faham.

“Difahamkan pelakon terbabit ingin tinggal berasingan selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Ketika itu, mangsa diugut suaminya yang ingin membunuhnya jika keluar dari rumah sebelum dicederakan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan hantaran terkini dimuat naik oleh pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson yang mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan matanya yang lebam.

Tidak memperincikan apa yang berlaku, Zahnita atau nama sebenar, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata, seboleh-bolehnya dia enggan membuka pekung di dada, namun keadaan memaksa untuknya berbuat demikian.

“Saya tidak mahu melakukan ini (kongsi foto), tetapi saya terpaksa. Ini menjadi punca kenapa saya tinggalkan rumah lama serta menjadi sebab saya selalu pakai cermin mata hitam,” tulisnya.

Suami ditahan selepas pelakon Zahnita Wilson dedah foto mata lebam

Susulan pendedahan yang dibuat oleh pelakon Kuliah Cinta itu, ramai pengikut termasuk rakan selebriti meluahkan simpati dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku terhadap model berwajah Pan Asian itu. Malah, ramai juga yang mendoakan Zahnita terpelihara daripada perbuatan yang membahayakan keselamatannya.

Antara rakan selebriti yang prihatin adalah Che Puan Sarimah Ibrahim, Sharifah Shahirah, Salamiah Hassan, Norish Karman, Tiz Zaqyah dan Zarina Zainoordin.

Terdahulu, pelakon itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.

Baca Lagi:
Budak 12 tahun jumpa azimat bentuk kumbang scarab Mesir berusia 3,500 tahun di Israel
Ini 3 tips pemanduan secara selamat ketika meredah air banjir
Usahawan makan sebiji pisang berharga RM27.6 juta, beli 100,000 lagi daripada Shah Alam