Suami ditahan di masjid selepas isteri, anak perempuan ditemui mati dikelar dalam longkang. Polis mengesahkan bahawa dua mayat yang ditemui di dalam longkang belakang bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, petang tadi adalah seorang wanita dewasa dan anak perempuannya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Salawati Saad, berkata kedua-dua mangsa, yang masing-masing berusia 34 dan 10 tahun, ditemui dengan kesan kelar pada leher.
“Mayat dua beranak yang dipercayai warga asing ini ditemui oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis pada pukul 5.40 petang tadi.
“Kedua-dua mangsa ditemui di dalam longkang kecil tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. Satu mayat ditemui dalam keadaan terlentang, manakala satu lagi tertiarap,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa berdasarkan risikan pantas polis, seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun, yang merupakan suami kepada mangsa, berjaya ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang pada pukul 9 malam tadi.
“Tangkapan ini akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar esok bagi tujuan permohonan reman untuk meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” tambahnya.
Menurutnya, mayat dua beranak itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan bahawa dua mayat ditemui dengan kesan kecederaan di dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, petang tadi.