Seorang lelaki di Palembang, wilayah Sumatera Selatan membuat laporan polis selepas dia dibelasah isterinya kerana berlaku curang, lapor laman berita GoRiau.
Mangsa yang dikenali sebagai IR berkata, si isteri memukulnya dengan menggunakan batang besi panjang sehingga menyebabkan dia cedera di kepala.
Wanita itu bertindak demikian selepas mendapati mangsa curang kepadanya.
“Kami dalam proses bercerai,” kata IR ketika membuat laporan di Balai Polis Palembang pada 29 Februari lalu.
Tambah IR, dalam kejadian itu, si isteri memarahinya selepas mendapat tahu dia curang bersama wanita lain di rumah mereka sendiri.
“Isteri marah dan kami bertengkar. Saya kemudian masuk ke dalam bilik sebelum dia (isteri) mengambil besi dan memukul saya,” ujarnya.
Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi yang dibuat oleh pihak polis berhubung insiden itu.