Suami ada hubungan sulit punca 3 wanita bergaduh di parkir pasar raya

Photo of author

By Syima Iza

Polis semalam menahan dua wanita warga asing termasuk seorang remaja yang disyaki terbabit dalam kes pergaduhan di kawasan parkir sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata pihaknya membuka kertas siasatan dan menahan wanita terbabit di dua lokasi berasingan, selepas rakaman video insiden pergaduhan itu tular di media sosial.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang suspek berusia 18 tahun yang disyaki memukul mangsa sebagaimana dipaparkan dalam video tular itu.

Suami ada hubungan sulit punca 3 wanita bergaduh di parkir pasar raya

“Tangkapan kedua pula membabitkan seorang lagi wanita berusia 25 tahun yang merupakan mangsa pukul dalam kejadian itu. Dia ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang juga menggerakkan pasukan bagi mengesan seorang lagi suspek yang turut dilihat memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berdasarkan hasil siasatan awal, Sammy berkata, motif kejadian dikatakan berpunca daripada hubungan sulit antara mangsa dan suami suspek yang masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes video tular itu boleh segera menghubungi IPD Penampang melalui talian 088-712222.

Kelmarin, tular video berdurasi dua minit 16 saat yang memaparkan mangsa beberapa kali ditampar dan rambutnya ditarik sehingga terjatuh sebelum ditendang oleh dua wanita.

Baca Juga:
Remaja meninggal dunia selepas rebah di stadium Darul Aman sebelum perlawanan
Rakan baik longlai di pusara Nur Farah undang ramai sebak
“Kenapa tak keluarkan kalau ada?” – Dituduh hidup mewah sebab dibela ‘sugar daddy’ Ruhainies cabar tunjuk bukti