SPRM sahkan Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok

Photo of author

By Syima Iza

SPRM sahkan Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok. Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok.

Kenyataan itu mengesahkan Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang sedang diambil keterangan oleh SPRM Putrajaya tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini.

“Esok beliau dijangka akan didakwa. Bukan hari ini,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

SPRM sahkan Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok

SPRM dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini.

Muhyiddin dilihat tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, pada jam 11.18 pagi, bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sementara itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan dirinya tidak bersalah atas tuduhan penyelewengan Jana Wibawa.

“Berdasarkan perbincangan sebelum ini, beliau menyatakan keyakinan tidak bersalah,” katanya kepada pemberita selepas Muhyiddin masuk ke bangunan Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

Baca Lagi:
Suami boleh pindah 2% caruman KWSP untuk isteri melalui kemudahan i-Sayang
Pelanggan wanita bawa bakul besar berisi duit syiling beli 7 cincin emas
Lelaki conteng masjid hina nabi undang kecaman orang ramai